Mesyuarat MT Tutup Spekulasi, Berlangsung Dengan Semangat Setiakawan Tinggi

KUALA LUMPUR, 9 Sept. – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung hari ini menutup pelbagai spekulasi berkaitan parti dan kepimpinannya apabila Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memaklumkan bahawa mesyuarat terbabit berlangsung dengan sangat baik dan menunjukkan semangat setiakawan yang tinggi.

Beliau turut mengalu-alukan penglibatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO yang menyatakan kesetiaannya kepada parti dan kesanggupannya untuk terus berjuang bagi memastikan kekuatan dan kejayaan UMNO dalam pilihan raya akan datang.

“Saya ucapkan terima kasih atas komitmen beliau dan juga kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku Naib Presiden UMNO yang turut melahirkan komitmen yang sama iaitu bekerja demi kepentingan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn, hari ini.

“Antara perkara yang dibincang dalam mesyuarat terbabit ialah berkaitan perkembangan semasa isu-isu tertentu termasuk pentingnya soal solidariti dalam hal kepimpinan UMNO di peringkat tertinggi termasuk MT sebagai asas untuk menjamin kelangsungan UMNO iaitu parti yang berkuasa dan berkemampuan untuk menyelesaikan apa jua isu.”

Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa UMNO tidak terlibat dalam penajaan perhimpunan rakyat sebagaimana yang direncanakan akan diadakan pada 16 Sept hadapan namun mengakui wujudnya beberapa pemimpin UMNO mewakili NGO yang terlibat dalam perhimpunan terbabit.

“Pendirian UMNO ialah kita mesti patuh kepada undang-undang negara dan pihak berkuasa termasuk pihak polis. Jadi apa-apa undang-undang dan apa-apa arahan mesti dipatuhi oleh pihak yang menganjur perhimpunan ini termasuk tempatnya dan apa jua yang bersabit dengannya.

“Perhimpunan ini tidak boleh dan kita tidak akan membenarkan ia merosakkan keamanan dan ketenteraman negara malah tentu sekali tidak dijadikan sebagai satu platform yang berbaur perkauman.

“UMNO berdiri atas prinsip sebuah parti yang bersama-sama dalam Barisan Nasional iaitu percaya kepada kepelbagaian kaum dan persefahaman antara kaum adalah salah satu asas penting untuk menentukan kekuatan negara ini,” tegasnya yang juga Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional.

Beliau turut mengumumkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2015 akan diadakan bermula 8 hingga 12 Disember hadapan.

Turut hadir dalam sidang media terbabit ialah Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama dengan Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Penerangan Datuk Ahmad Maslan.

Mereka disertai ketua sayap Pergerakan Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin. –

 

Sumber: MediaUMNO