Projek CoopCity Bernilai RM500 Juta Bakal Dibangunkan Di Bandar Penawar

KOTA TINGGI, 7 Sept — Projek CoopCity bakal dibangunkan di kawasan seluas 29.13 hektar di Bandar Penawar, di sini, dengan kos RM500 juta.

11224742_10153337191243173_1330205599650236507_nMenteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek usaha sama antara Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Koperasi Pengerang Kota Tinggi Berhad (Kopeti) itu bakal mencipta sejarah sebagai bandar koperasi pertama di Malaysia dan Asia.

Menurutnya pembinaan CoopCity Bandar Penawar terbabit menggunakan konsep yang sama seperti pembinaan bandar koperasi pertama dan terbesar di dunia seluas 82.96 hektar di Bronx, New York, Amerika Syarikat.

“Namun begitu, bandar baharu ini (CoopCity) mempunyai kekuatan dan kelebihannya sendiri iaitu dari aspek kedudukan, fungsi dan potensinya yang besar.

“Ini disebabkan ia terletak berhampiran projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak Dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang, yang berupaya membantu memenuhi keperluan hidup tenaga kerja di kawasan itu,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah pembangunan bercampur CoopCity Bandar Penawar, Kota Tinggi di sini Isnin.20150909181508

Turut hadir Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah, Ketua Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Datuk Lamien Sawiyo dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Md Jais Sarday.

Mohamed Khaled berkata fasa pertama projek itu yang sebahagiannya dijangka siap pada 2017, merangkumi pembinaan bercampur 642 unit, termasuk 352 unit rumah teres dua tingkat, kedai pejabat dua tingkat (18 unit), kedai pejabat tiga tingkat (12 unit), kedai kos sederhana (33 unit) serta Rumah Mampu Milik Johor (65 unit).

Beliau berkata fasa kedua pula melibatkan pembangunan komersial di kawasan seluas 2.02 hektar dalam tempoh lima tahun.

Katanya pentadbiran kerajaan negeri memandang serius pembangunan dan pengembangan koperasi serta peranannya dalam ekonomi.

“Sudah tiba masanya, peranan ini diberikan perhatian dan dikembangkan dengan lebih meluas, dan untuk itu kerajaan sentiasa memberikan kerjasama serta sokongan penuh ke atas usaha yang mengukuhkan pendapatan dan pegangan pasaran oleh koperasi.

“Ini sekali gus dapat membantu negara mencapai perolehan sebanyak RM50 bilion menjelang 2020 seperti yang disasarkan dalam Dasar Koperasi Negara (DKN) 2011-2020,” katanya.