Hanya Perkara Yang Baik Sahaja Akan Berlaku Di Mesyuarat MT UMNO Esok – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Di sebalik khabar angin bahawa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO esok dijangka akan menjadi hangat, Ketua Penerangan parti itu Datuk Ahmad Maslan yakin bahawa hanya perkara baik sahaja yang akan berlaku di mesyuarat itu.

Gambar Hiasan

Beliau yakin mesyuarat MT itu akan berlangsung tanpa sebarang masalah walaupun ia akan dihadiri para anggota MT UMNO yang digugurkan daripada Kabinet baru-baru ini.

“Saya yakin mereka semua akan hadir esok. Ia tidak menjadi masalah kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Presiden UMNO), Datuk Seri Shafie Apdal (Naib Presiden UMNO) dan Datuk Seri Hasan Malek (anggota Majlis Tertinggi UMNO) masih mempunyai jawatan yang penting dalam UMNO.

“Kami sebagai satu keluarga UMNO, kami tahu bagaimana menyelesaikan masalah kami dan saya yakin perkara yang baik sahaja yang akan berlaku esok,” kata Ahmad kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai program Pemimpin Dasar Ekonomi .

Sebelum ini, khabar angin mengenai kononnya tindakan terhadap beberapa pemimpin UMNO termasuk kemungkinan mereka dipecat dari parti itu kerana kesalahan disiplin parti, disangkal beberapa pemimpin UMNO termasuk oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sementara itu, Ahmad berkata pemimpin UMNO perlu terus setia dan komited mengukuhkan parti kerana UMNO hanya boleh dimusnahkan dari dalam.

Oleh itu, beliau berkata wujud keperluan bagi mengukuhkan UMNO secara dalaman dengan menjelaskan kepada para anggota parti berhubung isu-isu semasa.

“Dalam seminggu lalu, saya telah pergi ke 17 bahagian di tujuh negeri iaitu Kedah, Johor, Melaka, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Selangor untuk membuat penjelasan kepada pemimpin UMNO berkaitan isu 1MDB, dana RM2.6 bilion, kejatuhan nilai ringgit, GST, rombakan kabinet dan sebagainya.

Siri penjelasan itu akan diteruskan dan kemungkinan anggota majlis tertinggi yang lain akan dilibatkan sama, kata beliau.