Empangan Kahang siap Mei 2017

KLUANG 6 Sept. – Projek pembinaan Empangan Kahang yang kini mencapai 27 peratus kemajuan dijangka dapat disiapkan mengikut jadual pada Mei 2017.

Projek berkeluasan 860 hektar berdekatan Felda Kahang Timur, di sini itu dimulakan sejak Mei tahun lalu dengan kos mencecah RM86.3 juta.

imageAhli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Md. Jais Sarday berkata, empangan yang berkapasiti 21 juta meter padu itu berupaya menampung pengeluaran air mentah sebanyak 90 juta liter sehari hingga tahun 2035.

“Bagi fasa pertama projek ini, kita menjangkakan kira-kira 40 juta liter sehari dapat dibekalkan meliputi lebih 26,000 pemegang akaun di kawasan Kahang Timur, Paloh, Chamek dan sebahagian Jalan Mersing.

“Dengan siapnya pembinaan ini kelak, kita berharap dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air seperti yang pernah berlaku pada 2004, 2005 dan 2010,” katanya selepas melawat empangan berke-naan di sini, kelmarin.

Md. Jais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat lawatan daerah ini pada 26 Mac 2011 mengumumkan pembinaan projek tersebut.

Md. Jais berkata, empangan tersebut juga mampu menampung bekalan air sehingga lapan bulan sekiranya kawasan Kluang tidak menerima hujan dalam tempoh tersebut.

“Empangan Kahang telah dikenal pasti sebagai salah satu sumber air alternatif menerusi kajian-kajian terdahulu seperti National Resource Study 2004,” katanya.- Utusan