Sebelum Ini Lompat Parti Digelar Katak, Apa Pula Status 12 Wakil Rakyat Pas ‘Berhijrah’ Amanah

KUALA LUMPUR 3 Sept – Tindakan 12 wakil rakyat Pas yang menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) bukanlah satu perkara yang mengejutkan dan bukan senario yang menghairankan kerana tindak tanduk mereka sebelum ini sememangnya ke arah itu.

imageCuma yang menjadi persoalan hari ini apakah istilah yang sesuai untuk mereka kerana sebelum ini ungkapan yang cukup popular dan gemar dilontarkan kepada mana-mana pihak yang melompat parti dianggap sebagai ‘katak’ dan sebagainya lagi.

Bagi Ahli Parlimen Sekijang, YB Anuar Manap itulah lumrah alam dan kitaran dunia yang boleh menjadi pengajaran cukup bermakna kepada semua pihak untuk diselami dan dinilai secara mendalam.

“Apakah istilah yang sesuai dan apakah status yang cukup layak untuk mereka yang ‘berhijrah’ ini. Sebelum ini cukup popular mereka yang melompat digelar ‘katak’ dan sebagainya lagi.

“Kali ini apa pula statusnya bagi mereka yang ‘berhijrah’ kepada parti baru yang dipengerusikan oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang kalah secara pukal bersama kawan-kawanya yang lain pada pemilihan parti itu sebelum ini.

“Krisis di Perak pada satu ketika dahulu menimbulkan pelbagai ungkapan terhadap wakil rakyat yang menjadi bebas. Tidak sanggup untuk saya gelarkan dengan apa jua gelaran.
Namun secara dasar dan secara umumnya inilah gambaran pemimpin yang boleh dianggap tidak ada integriti, pendirian dan sebagainya lagi dalam prinsip perjuangan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut Anuar Manap seterusnya menambah pelbagai alasan boleh dilontarkan bagi menghalalkan tindakan menyeberang ke kawasan baru dan membakar jambatan lama yang sebelum ini menjadi payung di dalam perjuangan politik mereka.

Beliau percaya jika langkah sama diambil oleh mana-mana pihak khususnya menyertai UMNO dan sebagainya, sduah pasti akan timbul pelbagai tohmahan dan pelbagai kata-kata yang tidak enak di dengar.

“Namun hari ini pelbagai alasan keluar daripada kumpulan berkenaan. Apa pun saya percaya alasan-alasan yang diberikan tidak lebih sekadar untuk menyedapkan hati dan bukannya benar-benar serius untuk memperjuangkan kepentingan dan kebajikan rakyat di negara ini,“ katanya.

Pada Isnin lalu, Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu mengumumkan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai wadah politik gerakan itu.

Selain Khalid, Ahli Parlimen PAS yang menyertai Amanah ialah Datuk Dr Mujahid Yusof (Parit Buntar), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Hanipa Maidin (Sepang), Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu) dan Kamaruddin Jaafar (Tumpat).

Turut berbuat demikian adalah lima ADUN PAS iaitu Datuk Seri Dr Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib).