Luahkan Cinta Kepada Negara

BATU PAHAT 28 OGOS – Penggunaan aplikasi Instagram tidak hanya tertumpu kepada perkongsian gambar atau video harian biasa malah boleh memberi tuah kepada pemenang melalui penganjuran Instagram #SehatiSejiwa sempena Hari Kebangsaan tahun ini.

image-3Peraduan kali kedua anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu bertujuan menggalakkan orang ramai khususnya belia menggunakan laman Instagram sebagai medium meluahkan rasa cinta terhadap negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, me­lalui cara itu peserta boleh meluahkan kreativiti menerusi perkongsian gambar bercirikan hari kebangsaan.

“Pertandingan ini adalah pendekatan baharu Jasa untuk menggalakkan pengguna media baharu menggunakan aplikasi itu ke arah berfaedah dan tidak menyalahgunakan untuk perkara-perkara negatif.

“Melalui peraduan Instagram ini, pelbagai keterangan gambar boleh dibuat bagi menunjukkan betapa gembiranya mereka menyam­but kemerdekaan dan menghayati makna Sehati Sejiwa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pertandingan tersebut serta pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Parlimen Batu Pahat di sini, semalam.

Tambah Mohd. Puad, peserta hanya perlu memuat naik gambar atau video berdurasi 15 saat bertemakan hari kebangsaan dengan menggunakan #SehatiSejiwa atau #im58 atau #InstaMerdeka.

“Peraduan ini bermula sejak 23 Ogos lalu sehingga 18 September depan dan terbuka untuk semua warganegara,” katanya yang menambah pelbagai hadiah menarik menanti pemenang.

Katanya, maklumat lanjut mengenai pertandingan itu boleh didapati dengan melayari Facebook Jasa Instagram Merdeka atau www.jasa.gov.my.- UTUSAN

20150829231212