Jawatankuasa Khas Ekonomi Mampu Stabilkan Ekonomi Negara – Pemuda Mersing

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Mersing percaya penubuhan Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) dapat membantu menstabilkan ekonomi selain meningkatkan kepercayaan pelabur seterusnya mengukuhkan ringgit kelak.

Ketua Pemudanya Hishammuddin Hussin berkata, usaha tersbeut menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani isu-isu ekonomi khususnya melibatkan ekonomi rakyat agar sentiasa terjamin dan tidak tergugat.

Menurut beliau soal ekonomi adalah perkara pokok serta perkara asas yang menjadi tunjang kepada mana-mana kerajaan dan sudah tentulah apa yang diambil kerajaan hari ini menerusi penubuhan jawatankuasa khas berkenaan adalah untuk kepentingan negara dan rakyat.

Echam Mersing“Justeru kepada masyarakat di luar sana janganlah menyebarkan perkara-perkara negatif dan perkara yang tidak betul terutama mengenai nilai kejatuahn ringgit dan perkara berkaitan ekonomi yang lain.

“Begitu jugalah kepada para penggiat media sosial baik di facebook mahu pun whatsaap dan sebagainya lagi. Janganlah kita menjadi sebahagian daripada mereka yang tdiak bertanggungjawab dengan menyebarkan berita yang tidak tepat mengenai soal-soal berkenaan.

“Kita bimbang dan khuatir jika budaya berkenaan berterusan, ianya boleh menimbulkan kekeliruan dan akhirnya boleh memberi impak negatif terhadap pelbagai usaha yang diambil oleh kerajaan dan akhirnya memburukkan lagi keadaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hisham seterusnya menambah dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu sewajarnya seluruh rakyat bersama-sama dengan kerajaan untuk berdepan dengan senario tersebut.

“Berilah kepercayaan kepada kerajaan…kita percaya tidak ada mana-mana kerajaan yang hanya sekadar berpeluk tubuh dan sanggup untuk melihat rakyatnya terus bergelumang dengan suasana yang tidak menentu.

“Jadi marilah kita sama-sama bersolidariti dengan tidak menimbulkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Sehati Sejiwa bersama langkah kerajaan. Soal politik adalah perkara kedua. Letakkan matlamat utama adalah untuk kepentingan negara dan rakyat,” katanya.