Mural Dinding Bertemakan Kebudayaan Dan Patriotisme Bakal Tarik Pelancong Di Johor

JOHOR BAHARU, 29 Ogos — Seni mural dinding bertemakan seni kebudayaan dan patriotisme bakal menjadi tarikan baharu kepada pelancong asing di bandar raya ini, di samping menerapkan semangat cintakan negara kepada masyarakat terutamanya golongan belia, kata anggota Exco kerajaan negeri.

11895941_10153318718268173_9178539126287824512_nPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Datuk Tee Siew Kiong berkata lima seni mural berkenaan yang telah siap dapat dilihat di bangunan-bangunan lama di sepanjang Jalan Trus, Jalan Dhoby dan Jalan Ibrahim di sini.

Katanya ia dihasilkan melalui program kempen #tanahairku anjuran Petronas sempena Hari Kebangsaan.

Tee berkata bagi mempelbagaikan tarikan ini, pihaknya turut menggalakkan pihak yang berminat untuk membuat mural dinding di bangunan masing-masing.

“Selain bandar raya ini, Majlis Daerah Pontian sudah memilih enam lokasi untuk membuat mural tiga dimensi (3D) di dinding besar dan ia bakal bermula bulan hadapan,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri kempen #tanahairku yang dianjurkan oleh Petronas, malam tadi. Tee berkata mural yang dihasilkan berasaskan produk dan kebudayaan masyarakat Pontian itu, bakal dilukis pelukis tempatan, bertempat di Jalan Al-Saggof, Pusat Perdagangan Pontian dan Jalan Bakek.

Sementara itu, Datuk Bandar Johor Baharu A.Rahim Nin berbesar hati untuk bekerjasama menaik taraf dan memperindahkan mural dinding yang dibuat oleh pihak Petronas dengan memasang lampu sorot di bangunan-bangunan berkenaan.

Pihak Majlis Bandar Raya Johor Baharu juga memasang lampu sorot untuk menerangi mural pada waktu malam, bagi menaik taraf Bazaar Karat, kata beliau.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Petronas Norliza Kamaruddin berkata program seperti itu dilihat dapat menarik minat generasi muda sekali gus sebagai saluran terbaik bagi mengingatkan para belia mengenai Hari Kebangsaan.

“Selain Johor, dua negeri lagi yang terpilih ialah Sarawak dan Sabah, melibatkan 22 orang anak seni tempatan terpilih bagi mengecat diding dan membuat mural,” kata beliau.

Sempena Hari Kebangsaan juga, Petronas turut tampil dengan sebuah filem web yang mengandungi elemen persahabatan dan perpaduan masyarakat bertajuk ‘Akrab’, berdurasi selama lima minit mengenai tiga sahabat yang mengharungi perjalanan jauh untuk menyaksikan ‘Laungan Merdeka’.