Johor Tukar Nama Kulaijaya Kepada Kulai, Teliti Nama Baharu Ganti Nusajaya- Khaled

JOHOR BAHARU, 29 Ogos — Kerajaan Negeri Johor menyambut baik titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar supaya meneliti nama bersesuaian bagi kawasan Nusajaya.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan negeri turut menerima titah Tuanku yang mahukan nama daerah Kulaijaya ditukar kepada nama asalnya, Kulai.

Beliau berkata pihaknya akan melaksanakan pertukaran semula nama itu selain mencari nama baharu yang sesuai bagi Nusajaya, yang menempatkan pusat pentadbiran baharu kerajaan Johor.

“Kulaijaya kita akan tukar balik kepada nama asalnya Kulai, bagi Nusajaya kita akan bincang untuk mencari nama yang tepat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lima lukisan mural di sekitar pusat bandar raya ini, hari ini.

Semalam, Sultan Ibrahim menitahkan kerajaan negeri menukar semula nama daerah Kulaijaya kepada nama asalnya dengan serta-merta.

Baginda bertitah walaupun nama sesebuah kampung atau tempat bunyinya agak pelik, ia hendaklah dikekalkan kerana ia telah dinamakan oleh nenek moyang mengikut kesesuaian dan sejarahnya.

Sultan Ibrahim turut bertitah supaya kerajaan negeri meneliti nama sesuai bagi Nusajaya kerana nama itu tidak mempunyai kaitan dengan sejarah kawasan itu.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata pihaknya menyambut baik inisiatif seperti lukisan mural berkenaan dan berterima kasih kepada pihak terlibat termasuk Petronas, Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) serta pelukis anak Johor.

Mural berkenaan memberikan kelainan dan tarikan kepada bandar raya Johor Baharu sekali gus mengalukan-alukan lebih ramai pihak untuk melakukan insiatif sama dengan tema bersesuaian di bandar raya ini.

“Aspek penting mural yang dihasilkan ini bersandarkan kepada soal tanah air, dan sudah tentulah ia menjadi ruang bagi orang muda menunjukkan ekspresi melalui kreativiti mereka,” katanya.

Menurutnya ia juga dapat menyemai rasa cintakan tanah air dalam kalangan generasi muda terutamanya semasa negara menyambut Hari Kebangsaan 2015.

Lima mural itu termasuk yang berkonsep tiga dimensi (3D) diabadikan pada dinding bangunan warisan bernilai tinggi di sekitar Jalan Trus, Jalan Dhoby, Jalan Ibrahim dan Jalan Segget menerusi projek #tanahairku 3.0 bersempena sambutan Hari Kebangsaan.

Selain memaparkan elemen patriotik, mural itu bercirikan Bangsa Johor dan Muafakat Johor yang bertujuan menyampaikan mesej kepada pengunjung untuk menghayati kepentingan dan perpaduan kaum.