Menjelang Sambutan Kemerdekaan… Jadilah Negarawan Di Bumi Sendiri – Norshida

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap,Hajah Norshida Ibrahim mengajak seluruh rakyat negara ini tanpa mengira agama dan latarbelakang kaum untuk sama-sama menjadi negarawan di negara ini.

Menurut beliau setiap daripada rakyat mempunyai peranan yang tersendiri dan masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk sama-sama membangunkan negara demi kepentingan bersama.

Norshida“Setiap dari kita, ada peranan yang perlu dilaksanakan bagi membangunkan negara ini. walau apa jua bidang yang kita ceburi, laksanakanlah tugas yang digalas dengan penuh tanggungjawab, jujur, cekap dan berintegriti.

“Kita harus sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan yang tertinggi. Marilah kita, sehati sejiwa semua rakyat malaysia, tanpa perlu rasa rendah diri, tanpa perlu rasa terpinggir, tanpa mengira bangsa dan agama, bangun menjadi negarawan di bumi sendiri. Kita semua adalah sama, kita semua rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau seterusnya mengajak rakyat untuk sama-sama menghayati tema sambutan kemerdekaan tahun ini sehatisejiwa dengan lebih mendalam dan sama-sama mengambil peranan untuk mempertahakan apa yang telah dinikmati selama ini.

Katanya tidak ada maknanya sekiranya negara kucar kacir dan rakyatnya tidak bersatu padu dalam usaha memelihara dan memeprtahankan kemerdekaan.

“Selamat merayakan Hari Kebangsaan kepada semua lapisan masyarakat. Semoga kita berjaya dalam usaha kita memelihara dan mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara kita,” katanya.

#sehatisejiwa dipilih sebagai tema bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini. Menteri Komunikasi dan Multimedia sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tema itu dipilih kerana ia mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini.