KDN Tambah Anggota Jabatan Imegresen Johor Tangani Kesesakan Di CIQ

JOHOR BAHARU, 28 Ogos — Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan  menambah anggota Jabatan Imigresen Johor bagi menangani kesesakan lalu lintas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

CIQ_JBTimbalan Menteri berkenaan Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata langkah segera itu diharap dapat mengatasi kesesakan terutamanya bagi urusan keluar dan masuk  membabitkan prosedur Imigresen, yang menjadi rungutan masyarakat setempat dan rakyat Singapura.

“Buat masa ini, Jabatan Imigresen Johor kekurangan 288 anggota dan pegawai untuk bertugas di BSI. Hanya 1,100 anggota dan pegawai bertugas berbanding perjawatan sebenar bagi operasi Imigresen di sini iaitu seramai 1,388 orang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke CIQ berkenaan hari ini.

Nur Jazlan juga berkata KDN akan mempertimbang penggunaan palang di setiap kaunter Imigresen seperti yang digunakan pihak berkuasa Singapura di Woodlands.

Penggunaan palang itu dapat memastikan tiada kenderaan yang bolos semasa melalui lorong-lorong berkenaan, katanya.

Pada masa ini, Jabatan Imigresen Johor mengendalikan 223 kaunter di CIQ itu. Daripada jumlah itu, laluan bas untuk keluar dan masuk ialah 18 kaunter, laluan motosikal keluar dan masuk (50), laluan masuk lori (enam) dan keluar (lima) serta laluan kereta masuk dan keluar (38), katanya.

Selain itu, Nur Jazlan berkata KDN juga juga akan meminta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dapat ditempatkan di kompleks berkenaan bagi membantu kelancaran trafik terutamanya pada waktu puncak.