Sultan Johor Berkenan Merasmikan Sambutan 50 Tahun IPGKTI

JOHOR BAHARU, 26 Ogos — Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI) di sini.

Baginda yang disambut Rektor IPG Malaysia Datuk Sulaiman Wak turut berkenan menyempurnakan pelancaran buku khas Jubli Emas IPGKTI dan melawat galeri institut berkenaan.

 

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor Amran A Rahman; Mufti negeri Mohd Tahrir Samsudin dan Pengarah IPGKTI, Rubiah Ahmad.

Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk Seminar Penyelidikan Pendidikan Kebangsaan Zon Selatan 2015.

Terdahulu, Rubiah dalam ucapannya berkata IPGKTI melahirkan ramai tokoh tersohor sepanjang sejarah penubuhannya.

Tokoh-tokoh itu antaranya Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Anggota Parlimen Tanjong Karang Datuk Seri Noh Omar.

Kata beliau IPGKTI akan terus menjamin kecemerlangan profesion perguruan dengan berusaha menghasilkan guru-guru cemerlang dan berkualiti, seperti mana yang terkandung dalam Standard Guru Malaysia (SGM) serta keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pada ketika ini, IPGKTI mengendalikan program latihan perguruan praperkhidmatan seperti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah Sekolah Rendah dan Kursus Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan.