Pendekatan UMNO Johor Tidak Sekat Ahli Suarakan Pandangan- Pemuda Segamat

SEGAMAT, 25 Ogos –  Pergerakan Pemuda UMNO Segamat membidas tindakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos yang menggesa Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Johor berikutan kegagalan mengawal orang kanan yang mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak amat mengecewakan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Segamat.

Ketuanya, Bastien Onn berkata, ini kerana Khaled telah menjelaskan pendiriannya secara terbuka dan jelas akan sentiasa berada di belakang Presiden UMNO demi semangat cintakan parti.

image-2“Pendekatan UMNO Johor yang sentiasa memberi peluang kepada ahli untuk menyuarakan pendapat tidak wajar dijadikan alasan kelemahan kepimpinan Khaled dalam memacu UMNO Johor.

Perlu diingat bahawa Johor adalah tempat lahirnya UMNO yang berpunca dari suara rakyat sendiri. Oleh itu pendekatan ini wajar diteruskan dalam politik.

UMNO Johor meletakkan matlamat utama untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional terus kekal memerintah Malaysia dan Johor,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, ada kalanya suara-suara lain dari Menteri Besar adalah perlu untuk menyuarakan kebimbangan rakyat.

“Kami berpendapat tidak menjadi suatu kesalahan apabila mereka yang berjawatan mewakili suara rakyat kerana itu adalah sebahagian daripada fungsi berpolitik iaitu membawa suara orang bawah.

Kita perlu menerima perbezaan pendapat dengan hati terbuka kerana seorang pemimpin perlukan orang di sekeliling yang boleh menegur bagi menampung kekurangan dan bukan hanya memuji serta mengeluarkan kata-kata menyokong tanpa berlandas fakta dan hakikat.

Politik “Pak Turut” hanya merugikan UMNO sendiri sahaja dan tidak digemari oleh rakyat.

Perbezaan ini merupakan sebahagian daripada proses penyelesaian masalah.  Ia memberikan kita ruang untuk melihat pilihan yang ada dan membantu proses itu,” tambahnya.

Mereka yang menyuarakan pendapat yang berlainan bukanlah seorang pengkhianat jika ia menggunakan medium rasmi yang ada seperti Mesyuarat Perwakilan Bahagian kerana ia adalah platform ahli untuk bersuara.

Perbezaan pendapat juga menunjukkan ahli masih sayangkan parti keramat ini dan UMNO sebuah parti yang terbuka kerana memberi peluang kepada ahli untuk menyuarakan isi hati.

Janganlah kita berumpun tanpa bertunas. Biarlah ramai memberi pandangan supaya bercambah akar penyelesaian masalah.

“Kami juga memohon kepada semua agar menghentikan serangan bersifat peribadi yang berbentuk spekulatif kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Selain itu perbuatan mencampuri pentadbiran orang lain juga merupakan sesuatu yang kurang beretika di kala kawasan sendiri yang sepatutnya diperbaiki terlebih dahulu.  Adalah menjadi keutamaan semua pemimpin dan ahli UMNO untuk fokus menjaga parti demi menghadapi serangan luar ke arah PRU 14.

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Segamat berharap tindakan seperti ini tidak patut diulangi oleh mana-mana pemimpin UMNO dan menghormati kepimpinan Datuk Seri Noh Omar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor yang telah menasihati Dato’ Jamal untuk menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf secara terbuka kepada Khaled,” tambahnya lagi.