Pembangkang Terlalu ‘Desperate’ Untuk Berkuasa – Normala

PASIR GUDANG, 25 Ogos – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Binti Abdul Samad menyifatkan pembangkang terlalu ‘desperate’ untuk berkuasa dan ingin menjatuhkan kerajaan sedia ada sehingga sanggup mengambil kesempatan terhadap apa sahaja isu yang timbul.

Jelasnya, ramai yang mengetahui pembangkang mensasarkan negeri Johor sebagai negeri yang amat perlu ditawan kerana Johor dikenali sebagai kubu kuat UMNO.

MP Pasir Gudang - Pembangkang DesperateKerana itulah, pelbagai strategi diatur mereka demi merealiasikan impian tersebut.

“Tapi takkan kami di Johor akan tutup mata. Jika pembangkang begitu hebat mengatur strategi untuk menawan Johor, sudah pasti kami juga mengatur strategi bagi mempertahankan negeri ini.

“Apa yang penting adalah semua ahli UMNO perlu bersatu dan mengenepikan sebarang rasa tidak puas hati. Kita perlu mengukuhkan setiap sudut terutama untuk berhadapan dengan pilihan raya umum ke-14.

“Tapi saya yakin, Johor tetap milik UMNO kerana semangat orang Johor begitu tinggi dan hanya percayakan kerajaan sedia ada yang telah terbukti sentiasa membela nasib rakyat,” ujarnya kepada UMNO- Johor.

Tambah Normala, hasrat pembangkang untuk menawan Johor sebenarnya bukanlah satu rahsia lagi kerana ini bukan perkara baru. Bagi pembangkang, Johor seakan petanda aras kepada mereka.

“Jika mereka berjaya menawan Johor maknanya mereka telah berjaya menjatuhkan kerajaan. Selagi kubu kuat UMNO tidak dapat dijatuhkan maka mereka tidak akan berpuas hati.

“Tapi bukan mudah mereka ingin menakluk negeri Johor. Ahli UMNO khususnya Wanita UMNO yang menjadi tulang belakang parti akan turus menyinsing lengan, memerah keringat bagi memastikan impian pembangkang tidak akan terlaksana sampai bila-bila,” katanya lagi.