RM200,000 Untuk Gerakkan Pelancongan Di Kong Kong Laut

JOHOR BAHARU, 24 Ogos — Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) hari ini menyampaikan modal permulaan RM200,000 kepada Koperasi Sungai Latoh, Kong Kong Laut, di sini bagi menggerakkan eko dan agro pelancongan di kawasan berkenaan.ismail-ibrahim-iskandar-development-b6

Ketua Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim berkata modal terbabit bertujuan bagi kegunaan koperasi yang memiliki 60 anggota itu menyediakan infrastruktur yang dapat menarik kehadiran pengunjung.

“Walaupun tidak seberapa, modal itu diharap dapat digunakan untuk membina tapak perniagaan seperti medan ikan bakar,” katanya pada majlis perasmian Pusat Informasi Eko dan Agro Pelancongan Kong Kong Laut hari ini.

Ismail berkata adalah menjadi harapan IRDA untuk membantu ekonomi penduduk kampung berkenaan menerusi pemberian modal terbabit sekali gus memastikan pembangunan di Iskandar Malaysia dapat dinikmati masyarakat setempat.