JDT pertahan kejuaraan Liga Super

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Walaupun tumbang 1-2 kepada Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, namun Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super selepas pesaing rapat mereka, Pahang turut tewas 1-3 kepada Terengganu, sebentar tadi.

11896067_514284952068142_4865867454156507412_nJDT bagaimanapun cemas seketika sebelum dinobat sebagai juara apabila ketinggalan 0-2 dan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Junior Edstal dibuang padang.

Shahrul Saad membuka jaringan Felda United seawal minit keempat, sebelum Indra Putra Mahyuddin mengukuhkan kedudukan 2-0 menerusi sepakan penalti, tujuh minit kemudian.

Walaupun tertekan kerana terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam sebahagian besar saingan, skuad Harimau Selatan berjaya merapatkan jurang kepada 2-1 menerusi pemain import dari Argentina, Luciano Figueroa pada minit ke-42.

Sementara itu, Pahang melepaskan peluang untuk memintas JDT apabila tewas menerusi jaringan Issey Farran Nakajima, Ashaari Shamsuddin dan Mohd. Nasril Izzat di Stadium Mizan Zainal Abidin. Gol tunggal Tok Gajah pula disempurnakan oleh Damion Stewart.