Tawan Johor: Pembangkang Hanya Bermimpi Di siang Hari

TENGGARA, 20 Ogos – Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Hahasrin Hashim berkata, hasrat pembangkang untuk menakluk negeri Johor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 hanyalah sekadar mimpi di siang hari.

Jelasnya, sudah memang menjadi sikap pembangkang suka menangguk di air keroh dan apabila mereka melihat ramai ahli UMNO khususnya di negeri Johor melahirkan rasa tidak puas hati maka mereka mula mengatur strategi ‘jahat’.

url“Kita biarkan sahaja mereka ini bermimpi di siang hari… Meluahkan rasa tidak puas hati adalah hak ahli UMNO tetapi ini tidak bermakna kita akan khianati parti. Kami ahli UMNO khususnya Pemuda Johor mendukung tinggi perjuangan parti keramat UMNO.

“Kita lihat sahaja contoh Tan Seri Muhyiddin Yassin…. Walaupun digugurkan daripada kabinet tetapi beliau tetapi berjuang untuk parti. Jadi mengapa kita perlu melatah dan membiarkan pembangkang mengambil kesempatan merosakkan parti yang kita sayangi ini,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Hahasrin, beliau yakin ahli UMNO akan terus berusaha mempertahankan UMNO di negeri Johor dan Pemuda sendiri akan terus mengatur gerak kerja yang terbaik demi memastikan Johor menjadi penyumbang kepada kemenangan UMNO di PRU-14 nanti.

Sebagai Ketua pergerakan tersebut, beliau percaya ahli Pemuda tidak akan berpaling tadah dan akan membuktikannya pada hari pengundian kelak.

“Jadi, pembangkang tidak perlulah beretorik di negeri ini. Kami tahu mana yang baik dan buruk. UMNO tetap di hati kami,” ujarnya lagi.