Pemuda UMNO Diseru Terajui Gerakan Revolusi Tamadun Maya Tangani Fitnah

KOTA TINGGI, 21 Ogos  — Pemuda UMNO diseru menerajui gerakan revolusi tamadun maya dalam usaha menangkis segala fitnah yang dilihat semakin berleluasa.

11899951_668545029913669_5641531136944890195_nJusteru itu, Exco Pemuda UMNO Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaluddin berkata melalui gerakan seumpama itu, pemuda UMNO boleh menepis segala fitnah dunia maya lebih-lebih lagi polemik politik serta cerita tidak benar yang disebarkan melalui platform berkenaan.

Beliau berkata masih belum terlambat untuk melaksanakan gerakan itu, namun pemuda UMNO perlu meningkatkan pengetahuan sekali gus mempersiapkan diri untuk menerajui gerakan itu mulai sekarang.

“Rakyat sudah tahu perkara fitnah yang disebar melalui Internet. Kita kenalah ambil peranan sebarkan perkara yang berhak kepada rakyat supaya rakyat termasuklah ahli UMNO dapat menerima maklumat sebenar.

“Kita tidak mahu rakyat terpesona dengan fitnah ini dan menyebabkan mereka mengundi selain Barisan Nasional,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi di Dewan Serbaguna Felda Lok Heng Barat, di sini hari ini.

Mua’amar Ghadafi berkata kelekaan dan kegagalan dalam mengatasi masalah penyebaran fitnah berkenaan, amat dibimbangi.

“Kelemahan menangani dakyah yang disebarkan dalam dunia maya itu merupakan perangkap yang mampu merosakkan UMNO,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyambut baik lima rukun kerja yang digariskan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi iaitu amanah, bijaksana, dedikasi dan efektif yang dilaksana secara bersama dengan moto UMNO iaitu bersatu, bersetia serta berkhidmat.