Peluang kerjaya berkemahiran

PASIR GUDANG 18 Ogos – Kegagalan mendapatkan keputusan akademik cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan bererti seseorang individu itu ‘gelap masa hadapan’.

Ini kerana selain bidang akademik atau teknikal, pelajar yang gagal mendapat keputusan cemerlang masih berpeluang mengikuti jurusan berbentuk kemahiran yang amat diperlukan negara ketika ini.

imagePengarah Kolej Komuniti Pasir Gudang (KKPG), Nordin Sariju memberitahu, bidang kemahiran turut menawarkan peluang kerjaya yang tidak kurang berbanding bidang akademik dan teknikal.

“Antara kemahiran yang boleh dipelajari pelajar-pelajar ini adalah seperti dandanan rambut, fesyen dan pakaian, pengoperasian perniagaan, perisian komputer serta terapi kecantikan dan spa.

“Kebanyakan lulusan kami mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian mereka, malah ramai juga di antara mereka yang menceburkan diri dalam perniagaan sendiri dengan kemahiran yang dipelajari,” ujarnya kepada Helo Kampus, di sini baru-baru ini.

KKPG menawarkan dua kaedah pembelajaran kepada mereka yang berminat mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan pihaknya iaitu secara sepenuh masa antara 16 hingga 20 bulan atau jangka masa pendek mengikut hari.

Tambah Nordin, pengajian di KKPG memberi tumpuan sebanyak 75 peratus kepada pembelajaran berbentuk amali, manakala hanya 25 peratus sahaja dalam bentuk teori, menjadikan lulusan KKPG menepati kehendak pasaran kerjaya.

“Kadar lulusan KKPG yang mendapat pekerjaan pada tahun 2014 adalah sebanyak 98.6 peratus, ini sekali gus membuktikan kemahiran yang dimiliki penuntut kolej komuniti,” ujarnya lanjut.

Mana-mana pihak yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung KKPG boleh hubungi talian 019-6189325 atau 07-2525626, atau layari laman web www.kkpg.edu.my.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/peluang-kerjaya-berkemahiran-1.125906#sthash.W2rRcxPj.dpuf