Ahli UMNO Perlu Selami Semangat Merdeka Kembali Kepada Perjuangan Asal Parti

JOHOR BAHRU, 20 Ogos – Ketua Puteri UMNO Bahagian Johor Bahru, Datin Azura Mohd Afandi menyeru kepada semua ahli UMNO khususnya ahli Puteri untuk menyelami dan menjiwai semangat perjuangan merdeka dan kembali kepada perjuangan asal parti.

Ujarnya, ini amat penting kerana kepentingan parti perlu dijaga agar UMNO terus menjadi tunjang kepada kekuatan Negara.

1455179_602411256463509_1958479779_n“Kita sedar bahawa ketika ini UMNO tidak berada pada kedudukan yang selesa apabila mendapat kecaman hebat dari pelbagai pihak termasuk ahli parti. Saya melihat keadaan ini sebagai satu ujian kepada parti dan bagaimana pula reaksi dan tindakan kita sebagai ahli untuk membantu parti keluar dari kemelut ini.”

Marilah kita sama-sama selami dan jiwai semangat nenak moyang kita ketika menuntut kemerdekaan dahulu. Kita serapkan kembali roh perjuangan, rapatkan saf dan kukuhkan perpaduan kerana kita bakal berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke 14 yang tidak lama lagi.

“Kita perlu bingkas dan kembali kepada perjuangan asal agar perjuangan dan pengorbanan nenek moyang kita tidak menjadi sia-sia,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Azura, Puteri juga perlu lebih bekerja keras demi membantu parti menambat hati golongan muda yang sudah dipesongkan kepercayaan mereka.

Beliau tidak menolak ramai golongan muda yang mula terpedaya kononnya UMNO sudah tidak boleh dipercayai.

“Inilah cabaran kita… Kita perlu buktikan bahawa UMNO masih sebuah parti yang relevan. Usaha dan tindakan kita pada hari ini akan memberi kesan pada masa akan datang, khususnya untuk anak dan cucu kita pula.

“Jangan buang masa. Jangan biarkan anak muda semakin jauh dengan UMNO. Puteri akan sentiasa bersedia dan membantu parti,” ujarnya lagi.