Johor Akan Kekal Kubu Kuat UMNO – Anuar Manap

SEKIJANG, 19 Ogos – Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd Manap berkata, walaupun rakyat Johor sedikit terusik dengan pengguguran Tan Seri Muhyiddin Yassin daripada kabinet, namun rakyat negeri ini sedar dan terus berpegang bahawa UMNO adalah sebuah parti tunjang yang seharusnya diselamatkan dahulu daripada memikirkan nasib pemimpin.

Kerana itulah ujarnya, ahli UMNO di negeri ini terus setia kepada parti dan meletakkan ia di tempat lebih tinggi berbanding perkara lain.photo_2015-08-20_22-05-13

“Inilah kelebihan orang Johor sebenarnya. Lagipun kita sudah belajar banyak kali tentang perkara berkaitan pengguguran bermula daripada tahun UMNO diharamkan dahulu. Ketika itu UMNO di negeri ini juga agak tegang tetapi semua ahli berpegang kepada UMNO itu sebagai sebuah parti tunjang yang perlu diselamatkan.

“Ahli UMNO lebih memikirkan nasib UMNO itu sendiri terutama di bumi Johor. Jadi, kami akan terus pertahankan Johor sebagai kubu kuat UMNO apatahlagi kita bakal berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi. Saya yakin dengan semangat inilah semua ahli UMNO akan terus memperkukuhkan UMNO khususnya di negeri ini,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambahnya lagi, rakyat negeri ini faham akan konsep kepimpinan dan kerana konsep tersebutlah Perdana Menteri, datuk Seri Najib terpaksa membuat keputusan yang sukar semasa mengumumkan rombakan kabinet.

“Menteri Besar Johor juga akur dengan keputusan Perdana Menteri. Rakyat dan ahli UMNO boleh luahkan ketidakpuasan hati mereka tetapi harus akur dan yakin apa yang dibuat itu adalah keputusan yang sukar dan adalah demi kepentingan parti.

“Jadi saya berharap, keputusan tersebut dapat memperjelaskan segala isu semasa dengan baik sebagai hadiah kepada rakyat khususnya rakyat Johor,” tambahnya lagi.