Dua Lagi Kematian Akibat Denggi Dicatatkan Di Johor Sehingga 15 Ogos

JOHOR BAHARU, 18 Ogos — Jumlah kematian akibat demam denggi di Johor meningkat kepada 23 kes sejak Januari, dengan dua korban terbaharu direkodkan pada minggu ke-32 yang berakhir 15 Ogos lepas.

11825743_1077993148880147_4982749665268745123_nPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata jumlah kematian itu menunjukkan peningkatan berbanding 18 kes bagi tempoh sama tahun lepas, dan ia adalah sesuatu yang membimbangkan.

“Dua kematian terbaharu itu dilaporkan di daerah Johor Baharu. Peningkatan kes denggi di negeri ini berlaku selepas musim perayaan baru-baru ini kerana ramai penghuni meninggalkan rumah selama seminggu hingga dua minggu,” katanya.

Ayub berkata demikian kepada pemberita selepas kempen Kibar Jalur Gemilang Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah (MPJBT) dan Kayuhan Merdeka (Trans 1Malaysia), di sini hari ini.

Mengikut rekod, katanya, sebanyak 8,098 kes denggi dicatatkan di negeri ini sehingga minggu ke-32 iaitu peningkatan 141 peratus kes berbanding 3,357 kes bagi tempoh sama, tahun lepas.

Katanya Johor Baharu mencatatkan kadar kes tertinggi sebanyak 80 peratus diikuti Kulaijaya dan Batu Pahat, masing-masing mencatat lima peratus.

Menurut Ayub, sikap sambil lewa masyarakat terhadap kebersihan, sistem pungutan sampah tidak berjadual serta pengurusan tapak pembinaan yang tidak teratur merupakan antara punca utama berlakunya peningkatan kes denggi.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya meningkatkan usaha mengatasi masalah denggi di kawasan kediaman dan premis
perniagaan.

“Sehingga minggu ke-32, sebanyak 311,406 premis sudah diperiksa di seluruh negeri dan daripada jumlah itu, 9,239 premis didapati positif membiak nyamuk
aedes.

“Kita juga mengeluarkan kompaun bernilai lebih RM1 juta kepada 2,138 premis,” katanya.

Sementara itu, mengenai program Kibar Jalur Gemilang dan Kayuhan Merdeka (Trans 1Malaysia) anjuran MPJBT dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, Ayub berkata ia mampu menyemarakkan semangat kemerdekaan di kalangan masyarakat yang dilihat semakin lesu pada tahun ini.

Kayuhan Merdeka (Trans 1 Malaysia) itu disertai 40 individu yang akan berbasikal sejauh 1,700 kilometer selama 15 hari ke seluruh negara sambil menyampaikan mesej kemerdekaan kepada rakyat Malaysia.