Tindakan Tegas Jika Guling Kerajaan Cara Salah – Khalid

BATU PAHAT 16 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk pemimpin parti politik yang cuba menggulingkan kerajaan dengan cara yang bertentangan dan menyalahi perlembagaan serta undang-undang negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan, pihaknya sedang memantau perkembangan berkaitan termasuk penganjuran Bersih 4.0 yang dilihat semakin tersasar daripada tujuan asal.

imageBagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa PDRM tidak akan mencampuri urusan politik dalaman parti.

“Jika ada usaha untuk menurunkan mana-mana pemimpin parti, polis tak ingin mencampuri urusan dalaman mereka, tetapi jika ada mana-mana orang atau parti politik yang cuba menggulingkan kerajaan sedia ada dengan cara tidak demokratik, itu kita akan masuk campur.

“Terdapat dua cara untuk menukar kerajaan. Pertama menerusi undi tidak percaya di Parlimen dan kedua, menerusi pilihan raya umum. Jika selain daripada dua cara ini, kita akan menghalangnya,” tegasnya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Pentauliahan Kor Suksis IPTA SeMalaysia Ke-11 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Polis negeri, Datuk Rusli Ahmad dan Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.

Mengulas tentang Bersih 4.0 yang dijadualkan pada akhir bulan ini, Khalid berkata, kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Bersih sejak kebelakangan ini bukan lagi memperjuangkan pilihan raya yang bersih, tetapi menjurus terhadap usaha menukar kerajaan.

Justeru, beliau memberi amaran akan mengambil tindakan pencegahan sekiranya terdapat usaha dan aktiviti ke arah menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan.

“Jangan minta clean (bersih) itu clean (bersih) ini tetapi mereka sendiri kotor (kerana) tidak mahu mematuhi undang-undang.

“Bersih ini juga pentingkan diri, tak mahu jaga kepentingan orang lain, dia nak jaga hak dia ikut suka hati nak berhimpun di (Kompleks) Sogo dan lain-lain. Tetapi tak ambil kira hak pemandu teksi dan peniaga, fikirkanlah juga hak orang lain,” tegasnya.

Tambah Khalid, pihaknya tidak menghalang mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan aman, malah akan membantu kelancaran program itu tetapi mengesyorkan supaya mereka berhimpun di lokasi yang sesuai. -Utusan