Lima Mural Hiasi Pusat Bandaraya JB Sempena Hari Kebangsaan

JOHOR BAHARU, 17 Ogos — Lima lukisan mural akan menghiasi pusat bandaraya Johor Baharu bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini sekali gus menjadi tarikan baharu pelancongan ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata projek seni jalanan merangkumi mural berkonsep 3D itu diabadikan di lima bangunan di Jalan Trus, Jalan Dhoby, Jalan Ibrahim dan Jalan
Segget, di sini.

tee siew kiong“Projek #tanahairku 3.0 ini merupakan kerjasama kerajaan Johor dengan Petronas untuk menceriakan dinding pada bangunan warisan bernilai tinggi di sekitar pusat bandaraya Johor Baharu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tee berkata lima lukisan membabitkan kos sebanyak RM150,000 oleh Petronas itu dimulakan sejak Sabtu lepas dengan melibatkan 17 pelukis anak Johor pelbagai kaum dan dijangka siap sepenuhnya Rabu ini.

Beliau berkata selain memaparkan unsur patriotik, lukisan tersebut turut bercirikan Bangsa Johor dan Muafakat Johor yang bertujuan menyampaikan mesej kepada pengunjung untuk menghayati kepentingan perpaduan serta muafakat.

Menurut Tee, kerajaan negeri sentiasa mendukung sebarang usaha bagi mengaktifkan bandaraya Johor Baharu sebagai sebuah bandar raya pelancongan kreatif.

“Langkah ini seiring dengan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan daerah ini sebagai ‘Urban Heritage & Lifestyle’ seperti dalam Pelan Induk Pelancongan negeri Johor 2014-2023,” katanya.