Kerajaan Digesa Tangani Segera Kejatuhan Harga Komoditi – Sahrihan

LEDANG, 16 Ogos –  Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ledang hari ini menggesa kerajaan agar perlu menangani secara serius kejatuhan harga komoditi utama seperti getah dan kelapa sawit yang kini menjejaskan kehidupan rakyat khususnya masyarakat luar bandar.

Ketuanya, Sahrihan Jani berkata, tekanan kos sara hidup yang tinggi pada ketika ini nampaknya tidak dapat diimbangi oleh hasil jualan yang diperolehi dari getah dan kelapa sawit, telah menyebabkan kegelisahan dikalangan masyarakat luar bandar.photo_2015-08-19_22-43-31

“Harga jualan yang rendah serta kenaikan kos racun dan baja ditambah dengan musim hujan yang mula melanda di negara kita terutama di Johor, dikhuatiri akan lebih menjejaskan pendapatan rakyat dan sewajarnya kerajaan sudah mempunyai pelan jangka pendek bagi mengatasi masalah ini.

Sehubungan dengan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ledang mendesak agar kerajaan lebih menumpukan usaha untuk mencari jalan penyelesaian ke arah menstabilkan harga atau setidak-tidaknya memberi bantuan segera agar rakyat mendapat pembelaan yang sewajarnya dari kerajaan BN,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Johor.com .

Tambahnya, masyarakat luar bandar merupakan penyokong tegar BN selama ini perlu diberi perhatian dan kejatuhan harga komoditi ini merupakan peluang kepada kerajaan menambat semula hati masyarakat luar bandar yang selama ini mula terpengaruh dengan pelbagai isu politik yang langsung tidak membawa kesejahteraan hidup kepada mereka..

“Jangan sampai nanti masyarakat luar bandar terutama pekebun kecil menyesal kerana memilih kerajaan BN dan menghukum kita pd PRU14 kerana di waktu mereka memerlukan pembelaan pada ketika ini pemimpin negara sibuk dengan pelbagai isu politik,” tegasnya lagi.