Karnival JCorp Kota Tinggi Berjaya Capai Sasaran

KOTA TINGGI 15 Ogos – Lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan Karnival Johor Corporation (JCorp) 2015 Kota Tinggi yang berlangsung di Bukit Kerajaan Kota Tinggi selama tiga hari dan berakhir hari ini.

Ketua Strategik Komunikasi JCorp, Azman Thambi Chik yang juga pengarah karnival berkata, daerah ini merupakan lokasi keempat siri karnival tersebut tahun ini dan sambutan yang diterima daripada pengunjung sangat memberangsangkan.

image“Seperti penganjuran karnival di tiga lokasi terdahulu iaitu di Muar, Segamat dan Kluang, karnival yang diadakan di daerah ini turut berlangsung dalam suasana yang begitu meriah.

“Dengan sambutan dan maklum balas yang diterima daripada orang ramai, kita yakin objektif penganjuran karnival ini untuk merapatkan lagi hubungan antara JCorp dan masyarakat tercapai,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Majlis penutup disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md. Ariff dan dihadiri Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Menurut Azman, karnival tersebut bertujuan menyampaikan pelbagai maklumat kepada rakyat tentang aktiviti perniagaan syarikat, penyertaan dalam pembangunan ekonomi negeri serta tanggungjawab korporat yang dilaksanakan.

Katanya, ia secara tidak langsung membolehkan masyarakat memahami peranan yang dilakukan JCorp dalam membangunkan ekonomi di negeri ini.

Ujar beliau, pelbagai aktiviti menarik berlangsung sepanjang tiga hari karnival termasuk Pameran Kemahkotaan Sultan Johor, Semarak Jawi yang menggunakan medium akhbar jawi Utusan Me­layu Mingguan serta kaunter promosi Pelan Suara Hati Johor yang dianjurkan Pejabat Menteri Besar. – Utusan