Anggota UMNO Usah Emosional & Ikut Rentak Pembangkang – Hishammuddin

SERI ISKANDAR, 16 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta anggota UMNO di peringkat akar umbi supaya tidak emosional atau mengikut rentak pembangkang, sebaliknya meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan.

11903783_897280013641950_1301141998929117988_nBeliau berkata anggota UMNO perlu bersikap rasional dan merapatkan barisan untuk memperkukuhkan parti supaya berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Mereka (pembangkang) memperlekehkan kita tetapi anggota UMNO tidak perlu ikut rentak pembangkang.

“Anggota UMNO perlu menumpukan perhatian kepada PRU akan datang dan ekonomi negara, bukan (memikirkan) mengenai 1MDB (1 Malaysia Development Berhad) atau politik negara lain,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit di Institut Latihan Kemas di sini hari ini.

Hishammuddin juga berkata anggota UMNO perlu memulakan gelombang kesedaran supaya tidak berlaku perpecahan dalam parti.

“Semua anggota perlu memastikan usaha untuk melaga-lagakan pemimpin parti tidak berjaya, pastikan parti keramat UMNO kuat dan kukuh disokong akar umbi yang rasional, tidak emosional dan tahu cara untuk menangani cabaran semasa,” katanya.

Beliau juga meminta anggota UMNO tidak risau dengan isu 1MDB, sebaliknya memikirkan strategi untuk menghadapi PRU-14.

“Tiada masa untuk bercakaran, biarlah mereka yang dilantik ini membuat siasatan, siapa yang salah kita hadapkan ke mahkamah.

“Saya yakin isu tersebut dapat diselesaikan pada hujung tahun ini sekiranya siasatan tidak diganggu,” katanya.