UMNO Tidak Akan ‘Dikebumikan’ Di Johor – Khaled Nordin

JOHOR BAHARU, 9 Ogos — UMNO Johor tidak akan sekali-kali membenarkan parti yang ditunjangi orang Melayu itu ‘dikebumikan’ di negeri ini, malah kepentingannya perlu dipertahankan mengatasi kepentingan lain.

DSC_2480Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana UMNO adalah amanah bangsa yang sangat besar lebih-lebih lagi parti keramat itu lahir, dibentuk, diasuh dan didewasakan di negeri ini.

“Dalam setiap saraf dan titik darah, di dalam batang tubuh kami di Johor ini, platletnya UMNO dan DNAnya juga tanpa ragu, adalah UMNO,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di sini hari ini.

Perasmian itu disempurnakan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohamed Khaled, yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, berkata selama ini Johor merupakan benteng parti yang terkuat dan disebabkan itu, UMNO Johor akan melakukan apa sahaja untuk membantu Najib dalam memastikan kelangsungan parti.

Beliau berkata pada masa sama, anggota UMNO harus cekal dan tidak hilang fokus terhadap usaha memperkukuhkan agenda utama parti iaitu memperjuang dan memastikan kepentingan serta perpaduan orang Melayu.

Menurutnya, ini kerana UMNO merupakan institusi Melayu yang paling penting dan diasaskan untuk melestarikan kepentingan Melayu dan Islam.

“UMNO bukan milik sesiapa. Ia institusi siasah milik bangsa Melayu. Ia milikan ummah.

“Maka tiada siapa yang lebih besar dan gah dari ini semua…UMNO dan perjuangan bangsa Melayu mesti diutamakan, ” katanya.

Beliau juga menyeru kepimpinan negara agar merasai kesempitan dan tekanan hidup rakyat setelah negara menghadapi bebanan kos sara hidup yang tinggi.

“Dengan jujur, saya mengakui banyak usaha dilakukan kerajaan untuk bangsa dan negara namun kita masih ada banyak ruang dan peluang memperbaiki keadaan bangsa,” kata beliau.

Mohamed Khaled, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Permas, berkata disebabkan faktor itu juga, negara harus tampil dengan dasar ‘ekonomi untuk semua rakyat’ agar ia tidak hanya berteraskan pendapatan semata-mata, malah turut menitikberatkan kesejahteraan.

“Bila kita sedia mengakui, bersikap terbuka, dan mendengar dengan lebih banyak, ia akan meyakinkan rakyat bahawa setidak-tidaknya keluh kesah mereka kita dengari.

“Tetapi, saya yakin jalan ke hadapan bukan sekadar penyelesaian berasaskan pemikiran ekonomi barat semata-mata. Terokailah juga penyelesaian berasaskan Islam,” katanya.

Beliau berkata di Johor, kedinamikan penyelesaian masalah sosio ekonomi berdasarkan model Islam seperti institusi wakaf, zakat, hibah dan sedekah akan dikaji semula sebagai membantu masyarakat berdepan kemajuan serta kepesatan pertumbuhan ekonomi.