Keengganan Pembangkang Isytihar Dana Politik Diterima Memang Sudah Dijangka

JOHOR BAHARU, 9 Ogos — Keengganan pembangkang menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengisytiharkan dana politik yang diterima, memang sudah dijangka, malah ia bukan perkara baharu, kata
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

DSC_2480Mohamed Khaled, yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, berkata pembangkang memang sentiasa bersikap beria-ia dalam membangkitkan sesuatu isu tetapi kemudian tidak berani melaksanakannya.

“Pembangkang memang selalu begitu, banyak perkara yang dia bangkitkan. Selepas itu, bila kerajaan hendak buat, dia ubah pula,” katanya yang ditemui pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian PasirGudang di sini hari in ¬†i.

Beliau mengulas kenyataan pembangkang semalam bahawa mereka hanya menyahut saranan itu apabila Najib menyelesaikan isu wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur, semalam, Najib berkata beliau sedia membentangkan akaun UMNO kepada masyarakat umum dengan syarat parti pembangkang turut melakukan tindakan sama.

Sebelum itu, pada perasmian mesyuarat sama di Seremban 1 Ogos lepas, Najib turut mencadangkan agar peraturan yang menghendaki parti politik mendedahkan senarai punca dana politik yang diterima mereka, diwujudkan semula.

Dalam perkembangan berkaitan, Anggota Majlis Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata UMNO memerlukan dana politik untuk pembiayaan parti bukan sahaja
pada pilihan raya tetapi untuk menggerakkan segala aktiviti termasuk kursus dan latihan kepada jentera parti.

“Kita telah beri amanah kepada presiden parti untuk memegang dana politik parti, sebab parti kita memerlukan pembiayaan bukan sahaja pada pilihan raya tetapi sepanjang masa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Ampang di Bangunan UMNO Bahagian Ampang di Kuala Lumpur, hari ini.

Tajuddin menjelaskan presiden parti adalah pemegang amanah yang dibenarkan melalui perlembagaan, bagaimanapun akaun yang didakwa sebagai peribadi itu sebenarnya adalah akaun amanah dan bukan akaun peribadi untuk tujuan peribadi
beliau.

“Kalau Datuk Seri Najib gunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi maknanya dia sudah tidak amanah. Tetapi, sekarang kita tengok tiada bukti yang menunjukkan dia telah menggunakan wang amanah itu,” katanya.