Sembilan Premis Francais Pakaian Jenama Lanun Johor Bakal Dibuka Tahun Depan

JOHOR BAHARU, 7 Ogos  — LJ Apparels Sdn Bhd, pengeluar pakaian jenama Lanun Johor, merancang membuka sembilan premis francais di seluruh negara tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Faizal Ridza Alwi berkata pelan itu dirancang berikutan kejayaan jenama berkenaan dalam menambat hati pelanggan dan peniaga.11800539_940689575970072_3570210120649080366_n

“Kita akan mulakan francais Lanun Johor awal tahun depan setelah kita mendapat lesen. Kalau ikut perancangan, sembilan francaisi ini perlu dibangunkan dan dikembangkan dalam tempoh setahun di kawasan strategik,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Butik Armada Lanun Johor dan majlis rumah terbuka Aidilfitri butik berkenaan di sini hari ini.

Butik itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Koperasi Dan Pembangunan Usahawan Johor Md Jais Sarday.

Faizal Ridza yang lebih dikenali sebagai Kapten J Lanun, berkata terdapat 21 pengedar jenama pakaian itu di seluruh negara ketika ini dan mereka digalakkan merebut peluang menyertai francais berkenaan.

Beliau berkata selain itu, pihaknya sedang dalam proses mengumpul data daripada pelanggan menerusi kad keahlian mereka sekali gus bagi membantu para francaisi mengenali pelanggan mereka kelak.

Menurutnya Lanun Johor juga bercadang menghasilkan rekaan Muslimah seperti tudung dan baju lengan panjang untuk keselesaan pelanggan wanita.

Menerusi pembukaan Butik Armada Lanun Johor itu, Faizal Ridza berkata pihaknya turut merancang memperkenal konsep kafe di premisnya kelak bagi  membolehkan pelanggan bersantai di situ.