Bukan saja rakyat nak tahu 1MDB, pemimpin pun sama

KLUANG, 7 Ogos – Puteri Umno hari ini meminta seluruh anggota parti itu dan rakyat memberi ruang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperjelas mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga selesai.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, semua pihak perlu menghormati Presiden Umno dan membenarkan beliau mempertahankan dirinya walaupun di dalam keadaan semua pihak yang mahukan jawapan berhubung isu berkenaan.

“Bagi ruang kepada Najib untuk berikan jawapan dan pertahan dirinya,” katanya.

Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata, demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Sembrong, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Sembrong, Abd Ghani Abd Rashid, Ketua Wanita bahagian, Noraslina Zainal Abidin, Ketua Pemuda bahagian, Onn Hafiz Ghazi serta Ketua Puteri bahagian, Norhafizah Mohamad Naim.

Membayangkan dirinya berada dalam situasi Najib, Mas Ermieyati menegaskan beliau sendiri akan berasa sukar untuk menyelesaikan masalah dan mempertahankan dirinya sekiranya terus diasak dan dihentam oleh semua pihak.

“Memang rakyat ingin tahukan jawapan, kami pemimpin Umno juga mahukan jawapan tetapi kita perlu beri ruang kepada pemimpin kita untuk pertahan dirinya dan berikan jawapan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mas Ermieyati turut menekankan empat perkara kepada seluruh anggota parti itu terutamanya tidak menggelabah dan terikut-ikut dengan budaya pembangkang yang menaburkan fitnah kepada pemimpin Umno sekali gus melemahkan parti yang ditunjangi orang Melayu.

Beliau berkata dalam berdepan pelbagai cabaran ketika ini, seluruh akar umbi juga perlu mengelakkan politik sempit dan politik ‘sate’ yang mencucuk, membakar dan mengipas antara satu sama lain supaya tidak mencetuskan pertelingkahan.

Katanya seluruh akar umbi juga perlu memberi fokus dan melipat gandakan usaha dalam mengukuhkan parti terutamanya menambah keanggotaan parti, cawangan dan meningkatkan keyakinan para pengundi dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Akhir sekali, kita perlu bermuhasabah diri. Kalau kita rasa kita besar, maka, kita tidak akan ke mana. Kita perlu bertanggungjawab dalam memikul amanah yang diberi dan tidak boleh bersenang-lenang,” katanya.