Tangkis Serangan ‘Politik Persepsi’

JOHOR BAHRU 2 Ogos – ahli UMNO diminta meningkatkan usaha dan komited dalam menabur khidmat bakti kepada masyarakat bagi menangkis serangan ‘politik persepsi’ yang sering dimainkan parti pembangkang.

imagePengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara tersebut perlu dilakukan bagi meyakinkan masyarakat tentang parti sebenar yang selama ini berjuang membela nasib mereka.

Beliau berkata, pada zaman sekarang, salah satu elemen yang menjadi persaingan dalam politik adalah persepsi sehingga mampu menenggelamkan khidmat yang dilakukan.

“UMNO kena fikir bagaimana nak kukuhkan parti dari segi persepsi. Kita beri perkhidmatan terbaik, buat ini buat itu namun pembangkang yang menang dari segi persepsi.

“Lagipun, orang UMNO sebahagian besarnya hidup tak mahu berpura-pura. Mereka komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan, tidak digembar-gembur pun,” katanya pada Majlis Perjumpaan Bakal-bakal Haji Rombongan Kerajaan Johor Tahun 1436H/2015M, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, walau dalam apa jua cabaran dan persepsi orang terhadap parti, ahli UMNO perlu terus bersatu dan menggunakan semua peluang yang ada untuk mengukuhkan parti. – Utusan