JPDC perkenal program keusahawanan penduduk Pengerang

JOHOR BAHRU 3 Ogos – Johor Petroleum Development Corporation (JPDC) memperkenalkan Program Keusahawanan Masyarakat Pengerang dalam usaha memastikan kaum bumiputera tidak dipinggirkan dalam projek hab minyak dan gas di Pengerang, Kota Tinggi.

image-2
Mohd. Yazid Jaa’far, Ketua Pegawai Johor Petroleum Development Corporation

Ketua Eksekutif JPDC, Mohd. Yazid Jaa’far berkata, program tersebut yang dijalankan mulai April lalu diperkenalkan dengan kerjasama Kolej Komuniti Bandar Penawar.

Menurutnya, program tersebut bertujuan untuk membangunkan masyarakat Pengerang dari segi mental, fizikal dan rohani selain meningkatkan sosio-ekonomi mereka kesan daripada pembangunan projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

“Program ini merupakan sebahagian usaha digerakkan JPDC dalam memastikan masyarakat Pengerang tidak ketinggalan apabila kawasan mereka membangun dengan pesat pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, program tersebut dilaksanakan dalam enam peringkat, iaitu taklimat peluang pekerjaan, taklimat perniagaan, kursus asas perniagaan, kursus pengurusan pemasaran efektif, kursus pengurusan perakaunan dan pembudayaan keusahawanan.

Nyata penganjurannya mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dan sepanjang kursus dijalankan, sekurang-kurangnya 50 orang mengambil bahagian.

“Daripada jumlah itu, seramai 30 orang sudah berjaya mendaftarkan perniagaan mereka dan kini dalam proses mendapatkan sokongan kewangan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), sekali gus mengambil langkah pertama menjalankan perniagaan,” katanya.

Usaha itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan, JPDC dan semua pihak berkepentingan dalam memastikan pembangunan PIPC berjaya dan muncul sebagai hab minyak dan gas utama di rantau ini.- Utusan