Jawatankuasa khas perangi aedes

JOHOR BAHRU 2 Ogos – Kerajaan negeri akan me­nubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi meme­rangi wabak denggi yang kini pada tahap membimbangkan dengan 2,417 kes dicatatkan termasuk 11 kematian hingga Jun lalu.

image-4Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latif Bandi berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas dengan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat untuk membincangkan perkara berkenaan.

Dalam mesyuarat itu pihaknya akan memanggil kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pegawai kesihatan terlibat untuk merangka penubuhan dan menggerakkan jawatankausa khas tersebut.

“Dari segi pecahan kes mengikut kawasan dari Januari hingga semalam, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mencatatkan kes tertinggi dengan 47 peratus kes, diikuti Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) dengan 43 peratus, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) (9 peratus) dan luar bandar (1 peratus).

“Kes denggi di daerah ini (Johor Bahru) sememangnya semakin membimbangkan dengan sejumlah 2,417 kes dicatatkan dari Januari hingga Jun tahun ini, selain 65 kawasan panas yang telah dikenal pasti,” katanya selepas merasmikan Majlis Taklimat Pengasingan Sisa Di Punca dan melancarkan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) Perdana Peringkat MPJBT, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MPJBT, Salehuddin Hassan.

Abdul Latif berkata, Kementerian Kesihatan juga telah memper­untukkan sebanyak RM200,000 kepada Pejabat Kesihatan Johor Bahru untuk menggerakkan program Combi bagi memerangi penularan demam denggi.

“Projek Combi memerlukan komitmen penuh daripada pelbagai lapisan komuniti bermula daripada pemimpin sehinggalah ke peringkat akar umbi.

“Oleh itu saya mengharapkan kerjasama masyarakat kerana tanpa kerjasama ini program yang kita jalankan ini akan gagal,” katanya.- Utusan