Ahli UMNO Perlu Rasional Hadapi Isu, Cabaran Parti – Hishammuddin

TAIPING, 2 Ogos  — Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan anggota UMNO agar bersikap rasional apabila berhadapan dengan pelbagai isu serta cabaran dalam parti.

Beliau berkata anggota UMNO perlu meletakkan agenda parti sebagai keutamaan dan perlu membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam menangani isu semasa yang berlaku.

photo_2015-08-02_19-24-08“Ahli UMNO diminta merapatkan barisan untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam parti.

“Bukan mudah untuk menjadi seorang pemimpin pada era ini kerana banyak pihak yang cuba untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Taiping kali ke-27 di sini hari ini.

Menteri Pertahanan itu berkata parti UMNO sebelum ini pernah berhadapan dengan isu serta cabaran.

“Sebelum ini Tun Dr Ismail (Abdul Rahman) tidak sehaluan dengan Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj) dan meletakkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri, ini sama seperti Tun Musa Hitam.

“Datuk Onn (Jaafar) ditolak oleh orang Johor dan mengumumkan keputusan untuk mengundurkan diri, begitu juga perkara dalam melaga-lagakan parti, oleh sebab itu apa yang penting adalah kebijaksanaan UMNO dan dalam apa juga keadaan perkara paling penting adalah parti,” katanya.

Hishammuddin berkata UMNO perlu mencari kaedah terbaik dalam menyelesaikan masalah dan kepimpinan UMNO akan terus membantu di setiap bahagian bagi mencari jalan damai atas apa yang berlaku.

Dalam pada itu, beliau berkata menjadi hak seorang perdana menteri untuk melantik dan menggugurkan sesiapa sahaja yang beliau rasakan sesuai bagi mengukuhkan parti dan kerajaan.

“Sebagai ahli, (kita perlu) akur dan menerima setiap perubahan yang dilakukan dengan hati terbuka.

“Cara untuk menangani perkara itu juga bukanlah satu perkara mudah tetapi itulah cara pimpinan UMNO memimpin dalam keadaan hari ini,” katanya.

Beliau berkata suasana serta persepsi rakyat bergantung dengan apa yang dilaporkan oleh media sosial, dan bukanlah sesuatu yang mudah untuk menjawab isu sebegini.