Puteri Yakin Isu Muhyiddin Tidak Jelaskan Perpaduan UMNO

MUAR, 1 Ogos — Puteri UMNO yakin isu pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri pada Selasa lalu tidak akan menggugat dan menjejaskan perpaduan parti terutama di Johor.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermiyati Samsudin berkata beliau yakin semua peringkat akar umbi dalam UMNO cukup matang dalam memikirkan segala tindakan mereka.

11822470_855068747921887_4240340142161840188_n“Apa pun dalam parti kita masih bertuah mempunyai seorang timbalan presiden (UMNO) yang begitu kuat cintanya pada bangsa dan parti dan sebab itu saya minta tiada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan lain.

“Tan Sri Muhyiddin banyak memberikan sokongan kepada Puteri yang pernah menyatakan Puteri adalah harapan penting dalam parti dan kami merakamkan ucapan terima kasih itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Bakri di sini, malam tadi.

Mas Ermiyati juga menafikan kononnya ada ketua Puteri bahagian di negeri ini yang telah melepaskan jawatan berhubung isu yang melanda kepimpinan negara ketika ini.

“Tidak benar laporan yang telah menjadi viral itu dan saya menasihati semua pihak agar tidak terpengaruh dengan laporan yang hanya untuk merosakkan perpaduan parti,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan mahukan  anggota pergerakan itu sama-sama membantu untuk memulihkan kepercayaan akar umbi terhadap parti.

“Paling penting kesatuan perpaduan dan mempercayai kepada kepimpinan parti dan negara dan Puteri mempunyai peranannya untuk membantu parti ke arah itu,” katanya.

Mas Ermiyati juga mahukan anggota pergerakan itu mendapatkan sumber yang betul daripada laman sosial dan tidak bertindak terburu-buru hanya kerana percayakan berita yang tidak benar.

“Saya juga mahukan Puteri lipat gandakan usaha mencari seramai mungkin pengundi baharu dalam daftar pemilih dan Puteri perlu menjadi satu pergerakan yang luar biasa hebatnya,” katanya.