Kekalkan Perpaduan Dalam UMNO Biar Badai atau Taufan Datang Melanda – Tengku Adnan

MUAR, 1 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan ahli UMNO agar  terus mengekalkan perpaduan dan kesatuan dalam menempuh cabaran kerana arus politik ini tidak pernah tenang, sentiasa bergelora, ada badai dan ada ribut taufannya.

Menurut beliau, setiap ahli UMNO biarpun apa juga pangkat dan jawatan mereka mempunyai tanggungjawab yang sama untuk memelihara kepentingan perjuangan UMNO demi agama, bangsa dan tanahair.

“Kita perlu akui bahawa hidup ini umpama pusingan roda, sekejap di atas dan sekejap di bawah. Sekiranya kita berada di bawah, marah, tidak berpuas hati, diperkecil, kecewa atau terasa maka janganlah bertindak melulu.

“Janganlah terus berpatah arang.  Kita perlu berfikir secara bijak dan bertindak secara waras. Dahulukanlah kepentingan ramai sebelum melangkau kepentingan peribadi.

“Namun, saya percaya selagi mana kita bersatu dan berpadu atas nama agama, bangsa dan negara sebagaimana yang menjadi teras kepada perjuangan UMNO, maka saya yakin Allah SWT akan terus melindungi kita dan memberkati perjuangan kita ini,” tegasnya dalam ucapan perasmian persidangan UMNO Bahagian Bakri di sini hari ini.

Beliau juga turut mengingatkan bahawa musuh-musuh UMNO sentiasa mengintai peluang untuk memecah belahkan perpaduan dan kesatuan yang telah dibina selama ini.

“Kita perlu sentiasa sedar bahawa ada musuh yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memusnahkan perpaduan UMNO yang telah kita bina selama ini.

“Mereka ini bukan sahaja iri hati dengan kejayaan UMNO, malah lebih dari itu, sifat angkuh dan tamak haloba dalam diri mereka mahukan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan UMNO dipadam dan dimusnahkan, lantaran mereka sendiri gagal untuk meniru kesepakatan yang telah lama kita semai dalam UMNO,”jelasnya.

Justeru itu, beliau menyeru ahli UMNO terus memberikan sumbangan dan khidmat kepada parti biarpun sehebat mana cabaran dan dugaan yang datang.

“Situasi hari ini memerlukan kita bertanya pada diri sendiri apakah keutamaan kita untuk menyumbang kepada UMNO yang telah membawa banyak kemajuan? Kita perlu uabh sikap dan pendekatan kita dalam usaha untuk memastikan UMNO terus kukuh dan diyakini.

“Dalam hal ini, saya minta kita jauhilah sifat adu domba, buanglah segala sifat negatif dan irihati, usahlah bersangka buruk sesama kita.

“Sebaliknya marilah kita rapatkan saf, berpimpin tangan melangkah seiring untuk aturkan gerak kerja memperkukuh UMNO, menambah bilangan ahli seterusnya jadikan pengundi Barisan Nasional juga bertambah untuk kemenangan dalam pilihan raya kelak,”ujarnya.