Puteri Akan Terus Berjuang Demi Parti – Rohaizah

PAGOH, 31 Julai – Ketua Puteri UMNO Negeri Johor, Rohaizah Ahmad berkata, semua ahli Puteri akan terus berjuang demi parti dan mengambil semangat Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penguat semangat.

Roha - Ahli UMNO SedarUjarnya, Puteri tidak akan mudah melatah kerana apa yang penting adalah perjuangan parti khususnya mendekati golongan muda.

“Cuma apa yang kami harapkan adalah segala persoalan terjawab dan semua pemasalahan yang melanda parti dapat diselesaikan dengan baik.

“Kami diperingkat bawahan akan meneruskan perjuangan nenek moyang kerana kami sayangkan parti. Walaupun ramai yang kecewa tetapi kami sedar perjuangan parti masih jauh,” ujarnya kepada uMNO-Johor.

Tambah Rohaizah yang juga merupakan Ketua Puteri bahagian Pagoh, beliau percaya semua ahli Puteri rasional dan tahu membezakan apa yang perlu diberi keutamaan.

“Tidak dinafikan kami kecewa kerana Tan Sri Muhyiddin adalah Ketua UMNO bahagian kami tetapi beliau masih Timbalan Presiden UMNO. Jadi kami pasti apapun yang terjadi beliau akan terus tabah dan tidak akan berpaling daripada keutamaan parti.

“Maka kami juga harus bersikap sedemikian. Saya berharap, mesyuarat UMNO Bahagian yang sedang berlangsung ini akan memberikan satu aura terbaik kepada semua ahli kembali menguatkan hati dan merapatkan saf kerana pilihan raya umum sudah tidak lama lagi.

“Masih banyak kerja yang perlu kita lakukan. Kita tidak boleh leka,” ujarnya lagi.

Beliau tidak mahu dek kerana pelbagai isu yang timbul ini membuatkan gerak kerja menghadapi pilihan raya umum terganggu kerana ia bakal memberikan impak yang buruk kelak.

“Jika kita sayangkan parti maka teruskanlah bekerja demi masa hadapan anak bangsa,” katanya lagi.