Semai semangat cintakan negeri, negara

JOHOR BAHRU 21 Julai – Kerajaan negeri akan me­lancarkan Majlis Permuafakatan Perpaduan Negeri Johor yang berperanan untuk memupuk perpaduan antara kaum dan menyemai semangat cintakan ne­geri dan negara dalam kalangan rakyatnya hujung tahun ini.

image-1Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia nege­ri, R. Vidyanathan berkata, pelan induk tentang penubuhan majlis itu telah siap dirangka Jabatan Perpaduan negeri dan dibentangkan kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, pada masa ini pihaknya dalam proses memilih 10 individu yang akan menjadi ikon perpaduan masyarakat di negeri ini.

“Majlis ini antara lain akan membantu kerajaan negeri menangani sebarang isu dan me­ngadakan pelbagai program yang melibatkan agenda perpaduan antara kaum, sekali gus meningkatkan rasa cinta kepada negeri dan negara.

“Proses pemilihan ahli ini memakan masa kerana majlis ini bukan satu program bersifat bermusim. Kita mahu ahli yang menjadi ikon ini benar-benar sesuai dan berupaya dalam menyatukan pelbagai kaum di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Vidyanathan berkata, pemilihan 10 individu berkenaan dibuat selepas melihat pelbagai aspek termasuk latar belakang peribadi dan kaum, selain telah berkhidmat serta banyak berbakti kepada negeri ini.

“Besar harapan kami agar penubuhan majlis ini yang selaras dengan Pelan Suara Hati Johor dapat menjadikan nege­ri ini bukan sahaja maju dan sejahtera, malah kukuh dalam aspek perpaduan,” katanya sambil menyeru badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus bekerjasama bagi me­nganjurkan lebih banyak program yang boleh memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan nege­ri bersedia membantu termasuk menyediakan peruntukan kepada mana-mana NGO yang berminat untuk menganjurkan program perpaduan.

“Mewujudkan perpaduan da­lam kalangan masyarakat bukan tugas kerajaan semata-mata, sebaliknya NGO perlu bersama-sama memainkan peranan untuk tujuan tersebut.

“Mereka boleh membantu kami daripada segi memberi kese­daran tentang pentingnya perpaduan kepada masyarakat daripada semasa ke semasa,” katanya.- Utusan