Isytihar skim gaji elak hilang tenaga mahir

JOHOR BAHRU 20 Julai – Kerajaan Pusat disaran mewujudkan peraturan khusus supaya semua syarikat yang beroperasi di negara ini perlu membuat pengisytiharan secara terbuka mengenai skim gaji yang ditawarkan kepada kakitangan mereka di semua jabatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini bagi membolehkan orang awam mengetahui perbezaan gaji yang ditawarkan syarikat di ibu kota dengan kawasan-kawasan lain.

image-2Beliau berkata, perkara itu juga boleh mewujudkan persekitaran yang berdaya saing antara syarikat sekali gus dapat mengelakkan pekerja mahir tempatan mencari peluang pekerjaan di luar negara.

“Kita sedar ramai rakyat ne­geri ini yang bekerja di Singapura. Soalnya bagaimana usaha mahu mengekalkan mereka untuk be­kerja di sini dan satu daripada aspek yang harus diberi perhatian adalah gaji yang ditawarkan.

“Sehingga kini memang tiada peraturan yang memerlukan syarikat untuk mendedahkan tangga gaji dan saya rasa sudah sampai masanya kerajaan Pusat berbuat sesuatu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2015 Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata, cabaran yang dihadapi Johor ketika ini adalah gaji yang ditawarkan bagi sesetengah jawatan yang sama tidak setimpal dan rendah berbanding kawasan di Lembah Klang.

“Atas sebab itu susah untuk mengawal rakyat negeri ini daripada bekerja di negeri lain atau ke Singapura. Bagi saya untuk jangka masa panjang situasi itu tidak baik untuk Johor dalam mengekalkan pembangunan yang sedia ada,” katanya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/isytihar-skim-gaji-elak-hilang-tenaga-mahir-1.115370#sthash.4PMeloyZ.dpuf