Serangan Berterusan Terhadap Najib Usaha Hakis Kepercayaan Rakyat Terhadap Kerajaan BN – Sahrihan

LEDANG, 10 Julai – UMNO kini dikatakan berhadapan dengan krisis keyakinan kepada kepimpinan, serangan bertali arus dengan pelbagai isu terhadap kepimpinan negara terutama YAB PM sebenarnya adalah cubaan untuk menghakis kepercayaan rakyat terhadap kebolehan dan kemampuan Kerajaan BN dalam mentadbir Negara, ujar Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Johor, Sahrihan Jani.

Tambahnya, tidak dinafikan terdapat beberapa isu yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan terutama dalam soal menangani tekanan kos sara hidup yang sedikit sebanyak meresahkan kebanyakan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.Sahrihan

“Malaysia pernah berdepan dengan cabaran yang lebih besar semasa kemelesetan ekonomi sekitar lewat 80an dan kegawatan ekonomi di penghujung 90an, dengan kepercayaan penuh segenap lapisan masyarakat dan solidariti kepada kepimpinan, Malaysia telah keluar dari kedua-dua masalah tersebut dan mampu terus membangun dan kekal fokus mencapai status negara brpendapatan tinggi.

Hari ini kita sekali lagi diuji, hari ini Kepimpinan negara khususnya YAB Datuk Seri Najib Razak diasak dengan pelbagai pelbagai isu, namun saya menyeru orang-orang UMNO khususnya, hendaklah terus kekal bersolidariti.

Institusi yang ada bukan sahaja perlu dipertahankan malah harus dihormati, tuduhan- tuduhan jahat yg dimainkan oleh media asing dan seolah-olah disambut oleh kita tidak akan dapat membantu negara keluar dari masalah yang ada,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang.

Ujarnya, dalam masa yang sama kita juga mendesak dan menyeru pemimpin negara untuk mengambil langkah yang lebih proaktif dan responsif dalam menangani setiap isu yang menjadi keresahan rakyat

Tindakan menurut undang-undang perlu segera diambil bagi menghentikan sebarang penyebaran fitnah yang terus berleluasa dan membentuk persepsi negatif dikalangan masyarakat

“Rakyat sentiasa memandang dengan penuh sensitif terhadap apa jua tindakan yang dilakukan oleh kerajaan.

Pergerakan Pemuda UMNO Johor komited dalam memastikan sokongan terhadap UMNO dan BN di Johor akan terus kekal dan bertekad untuk bersama-sama dengan kepimpinan negara dalam berhadapan dengan apa jua cabaran.

Kita tidak rela segala apa yang dicapai oleh Malaysia pada hari ini hasil perjuangan pejuang-pejuang terdahulu diranapkan oleh segelintir manusia yang oportunis dan manjadi dalang terhadap kemusnahan tamadun yang telah dan sedang dibina,” tambahnya.