Budayakan Al-Quran Sepanjang Masa

PAGOH 8 Julai – Menghayati dan membudayakan al-Quran bukan sahaja harus dilakukan dalam bulan Ramadan tetapi juga sepanjang masa bagi memastikan kehidupan umat Islam terpandu dan tidak tergelincir daripada landasan Islam sebenar.

Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Pagoh, Senator Datuk Noriah Mahat berkata, ini kerana kitab suci tersebut merupakan sumber utama umat Islam untuk menjalani kehidupan seharian.

image“Banyak iktibar dan pedoman yang boleh diambil daripada kitab wahyu Allah yang mendidik manusia menjadi muslim yang diredai,” katanya pada Majlis Karisma Ramadan, Tadarus dan Khatam al-Quran Parlimen Pagoh di Masjid Bukit Pasir, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed; ADUN Jorak, Datuk Dr. Saharuddin Mohd. Salleh dan wakil Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Hairudin Hashim.

Noriah berkata, kitab suci tersebut menjadi rujukan sepanjang zaman dan apabila timbul perselisihan, umat Islam perlu kembali kepada petunjuk dan ajaran al-Quran.

Menurutnya, apabila kitab suci itu dibudayakan dalam kalangan masyarakat, nilai-nilai murni dan keindahan Islam yang bersifat sejagat akan dapat diterapkan, seterusnya menjadi mesej positif kepada golongan bukan Islam.

Sementara itu, Ismail memuji usaha yang dilakukan LPPKN dan WPWK Pagoh yang diharapkan dapat mengekalkan bilangan penyertaan yang ramai dalam setiap penganjuran program berbentuk keagamaan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri menggalakkan golongan wanita menceburi bidang pertanian bagi menambah pendapatan keluarga yang boleh dilakukan di kawasan rumah.

“Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM4 juta pada tahun ini berbanding RM2 juta sebelum ini untuk membangunkan bidang pertanian,” katanya. – Utusan