Polis Johor Tingkat Penugasan Menerusi Op Selamat 7, Kempen Rumah Selamat

JOHOR BAHARU, 9 Julai  — Polis Kontinjen Johor akan meningkatkan penugasan menerusi Op Selamat 7 dan Kempen Rumah Selamat bagi menjamin keselamatan lalu lintas serta kediaman pada musim perayaan Aidilfitri.

Ketua Polis Johor Datuk Rusli Ahmad berkata pihaknya akan menggembleng seluruh kekuatan pegawai dan anggota khususnya dari Cawangan Trafik dalam memastikan objektif Op Selamat 7 dan Kempen Rumah Selamat yang bermula esok hingga 24 Julai ini tercapai.

11222732_1106042529423260_2532829111697207355_o“Op Selamat 7 bermatlamat mengurangkan kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut, melancarkan aliran trafik serta mencegah jenayah dengan konsep operasi menumpukan penguatkuasaan menyeluruh bagi kesalahan lalu lintas,” katanya.

Rusli berkata demikian pada majlis pelancaran Op Selamat 7 dan Kempen Rumah Selamat, di sini hari ini.

Menurutnya 24 kes kemalangan maut melibatkan 25 kematian direkodkan menerusi Op Selamat 5 pada musim perayaan Aidilfitri lepas yang diadakan mulai 21 Julai hingga 4 Ogos serta 27,103 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya, bagi tempoh sama.

Beliau berkata daripada 25 kematian itu, 19 kes melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal manakala pemandu dan penumpang kereta, pemandu lori dan lain-lain kenderaan, masing-masing mencatatkan dua kematian.photo_2015-07-10_15-23-20

Katanya, bagi Kempen Rumah Selamat pula, sebanyak 7,186 rumah dilaporkan ditinggalkan sepanjang perayaan Aidilfitiri tahun lepas dan anggota polis mengadakan 14,481 lawatan terhadap kesemua rumah terbabit sekurang-kurangnya dua kali sehari bagi memastikan keselamatan.

Menurut Rusli, tiada rumah yang ditinggalkan itu terlibat dalam kes jenayah dan sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang pulang bercuti menyambut perayaan kali ini untuk memaklumkan kekosongan rumah mereka kepada polis.

Kempen Rumah Selamat diadakan sejak tahun 2006, katanya.

“Polis juga sentiasa mengharapkan masyarakat negeri ini bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk bersama-sama menangani jenayah semasa musim perayaan,” katanya.