Johor Gerak Operasi Mega Perangi Denggi Mulai Esok

JOHOR BAHARU, 8 Julai — Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan menggerakkan Operasi Mega Perang Denggi bermula esok, terutama di ‘kawasan panas’ wabak berulang denggi yang dilihat semakin meruncing.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata tindakan itu diambil susulan kes denggi di negeri ini yang meningkat secara mendadak sehingga mencapai 4,277 kes pada minggu ke-25, peningkatan 50 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Lawan Denggi“Operasi Mega di bandar raya ini akan diadakan esok dan 14 Julai di 79 kawasan panas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ayub berkata selain Pejabat Kesihatan Daerah Johor Baharu, turut terlibat pejabat kesihatan daerah lain, Majlis Bandaraya Johor Baharu, Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah, Jabatan Pertahanan Awam, Sukarelawan COMBI, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta SW Corp.

Operasi berkenaan antara lain akan melibatkan kerja-kerja memusnahkan tempat pembiakan nyamuk, semburan ‘kabut’, gotong-royong dan bantuan ‘kesan dan musnah’.

Bagi mengatasi masalah kekurangan peralatan dan sumber manusia pula, Ayub berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah Johor Baharu dan Kulaijaya diminta menambah mesin semburan.

Dalam masa sama, PBT perlu memberi latihan penggunaan mesin itu kepada jawatankuasa penduduk serta sukarelawan projek komunikasi untuk perubahan tingkah laku (COMBI) bagi membolehkan semburan ini diperluaskan kepada kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Sehingga kini, Johor menduduki tempat ketiga teratas dalam statistik kes denggi di Malaysia dengan jumlah keseluruhan kes di seluruh negara ialah 56,533, membabitkan 162 kematian.

Pada minggu ke-25, sebanyak 452 kes berlaku di Johor berbanding 200 kes di Singapura.

Selain itu, PBT juga akan diarahkan untuk terus menjalankan pemantauan dan pembersihan yang kerap di kawasan pasar pagi, pasar malam, pasar tani dan bazar Ramadan.

Ayub berkata terdapat beberapa kawasan panas yang masih melaporkan kes denggi walaupun telah dilaksanakan tindakan kawalan seperti di Kampung Datuk Sulaiman Menteri dan Apartmen Sri Impian, Larkin.

NEWSDi daerah Johor Baharu, 94 peratus tapak binaan yang diperiksa didapati positif tempat pembiakan aedes dan sebanyak tujuh peratus sekolah yang diperiksa didapati positif tempat pembiakan nyamuk itu.

“Sehubungan itu, semua sekolah di negeri ini diarahkan untuk menubuhkan dan mengaktifkan Jawatankuasa Bebas Denggi Sekolah dan membuat pemeriksaan yang menyeluruh di setiap kawasan berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk apabila berakhir cuti perayaan pada 22 Julai ini,” katanya.

Antara kawasan yang turut berisiko tinggi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes termasuk tempat pelupusan sampah di kawasan Felda yang tidak diuruskan dengan sempurna, stor penyimpanan dan penyitaan kenderaan di balai polis serta rumah burung Walit di daerah Kulaijaya.

Sehubungan itu, Ibu Pejabat Felda Wilayah Selatan diminta memastikan sistem penjadualan sampah mereka dikemas kini serta memberi amaran kepada peneroka yang menjadikan rumah mereka tempat menyimpan barang lusuh, kata Ayub.

Sebagai usaha jangka panjang yang melibatkan perancangan dan pembangunan di semua daerah, kerajaan negeri turut memutuskan semua permohonan Pelan Kerja Tanah dan Pelan Bangunan dalam Mesyuarat Pusat Sehenti (OSC) perlu mendapat kebenaran Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan di PBT tersebut.