Barangan Keperluan Aidilfitri Di Johor Dijangka Cukup Untuk Tampung Permintaan

MUAR, 8 Julai — Semua barangan keperluan seperti ayam, daging lembu, ikan dan sayur-sayuran di Johor dijamin mencukupi dengan harganya terkawal walaupun permintaannya akan meningkat sehingga 20 peratus menjelang Aidilfitri ini.

image-2Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Ismail Mohamed berkata, sepanjang tempoh itu bekalan ayam diperlukan adalah sebanyak 78 tan metrik ™, daging lembu (56tm), ikan (41tm) dan sayur-sayuran (122tm).

“Insya-Allah semua barang keperluan untuk menyambut Aidilfitri adlah mencukupi. Kita tiada masalah dengan bekalan ayam kerana Johor merupakan pengeluar utama ayam di negara ini kerana produktivinya 44,000tm sebulan iaitu melebihi keperluan malah terus dieksport 130,000 ekor ayam sehari ke Singapura.

Bekalan daging diperoleh dari ladang tempatan selain kita import daging beku dari India dan Australia. Bekalan ikan seperti kembong, pelaling, selayang, selar dan pari kita hentikan eksport ke Singapura dari 1 Jun lalu hingga 31 Ogos ini bertujuan memastikan bekalan dalam negeri mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kacau Bubur Lambuk di Dewan Gerakan Desa Wawasan Felda Lenga, di sini hari ini.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang berkata sayur-sayuran utama yang biasa mendapat permintaan tinggi antaranya kacang panjang, tomato, cili, kobis, serai dan lengkuas termasuk kelapa serta buah-buahan juga tidak mempunyai masalah dari segi bekalan.

Katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pula akan memastikan segala permintaan itu mencukupi melalui ladang kontraknya dan boleh didapati di semua 61 pasar tani seluruh negeri.image-1

Sehubungan itu Ismail menyarankan orang ramai membeli di pasar tani kerana segar dan harga yang lebih murah hingga 20 peratus berbanding tempat lain.

Menurutnya, bermula 11 Julai ini FAMA akan akan melancarkan Pasar Tani Khas menjelang Aidilfitri di peringkat negeri di perkarangan Stadium Larkin, Johor Baharu diikuti oleh 12 lokasi lagi di beberapa tempat.

Ismail juga meminta semua peniaga mematuhi harga siling yang telah ditetapkan dan meminta pengguna agar melaporkan kepada pihak berwajib mengenai sebarang kenaikan harga barangan keperluan.

“Kita mahu pengguna bekerjasama dengan kita, apabila ada peniaga menaikkan harga sesuka hati atau tidak mematuhi harga yang ditetapkan, boleh membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab supaya tindakan dapat diambil,” katanya.