Serangan Berterusan Terhadap Najib: Ahli UMNO Diminta Bertenang & Rasional

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Ahli-ahli UMNO dari kepimpinan atas hinggalah ahli-ahli di akar umbi diminta mengambil sikap bertenang dan berfikir secara rasional berhubung pelbagai isu yang berlaku di sekeliling kita sejak kebelakangan khususnya serangan bertali arus terhadap Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

tengku-adnan-sep19Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, seharusnya kita terus memberikan sokongan padu kepada pemimpin atasan kita serta memberi ruang kepada beliau untuk memikirkan tindakan yang sewajarnya diambil demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Dalam masa yang sama, saya menyeru semua ahli UMNO untuk meneruskan fokus perjuangan parti selaras dengan gerak kerja yang telah diatur.

Kita perlu sedar bahawa dalam keadaan kita hari ini tentunya kita perlu terus waspada dan tidak alpa kerana pihak lain khususnya pembangkang sentiasa mencari ruang dan peluang bagi merobohkan perpaduan dan kesatuan yang menjadi benteng kita selama ini,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Tambahnya, usahlah kita terpengaruh dengan pelbagai manipulasi dan provokasi yang dilontarkan oleh mereka malah sikap mereka yang gemar menangguk di air keruh juga perlu kita awasi.

“Sehubungan itu, sekali lagi saya mengajak ahli-ahli UMNO sekalian untuk terus berpegang teguh kepada matlamat perjuangan parti dan memastikan demokrasi terus subur,” ujarnya lagi.