Majlis Agama Islam Johor, Agensi Berkaitan Diminta Rangka Pelan Tindakan Zakat Johor

JOHOR BAHARU, 7 Julai — Majlis Agama Islam Johor dan badan berkaitan zakat di negeri ini diminta merangka Pelan Tindakan Zakat Johor dalam usaha membangunkan potensi zakat secara besar-besaran demi masa depan dan kemakmuran Johor.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sudah tiba masanya zakat menjadi elemen penting perbendaharaan Johor dan masyarakatnya.

11693838_10153202596138173_4207566084863396394_n“Telah sampai waktunya kita menjelaskan strategi kita untuk menjadikan zakat sebagai elemen swadaya ummah, sebagai instrumen membasmi kemiskinan.

“Dan sebagai saluran yang memungkinkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi berlaku secara inklusif,” kata Mohamed Khaled dalam ucapannya pada majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata dengan pelan tindakan itu, ia dapat memberikan dimensi moden kepada zakat dalam sistem ekonomi moden negeri Johor.

Beliau menegur sesetengah anggota masyarakat yang semakin tidak percaya dengan institusi zakat dan bertindak menyalurkan sendiri zakat kepada pihak yang dirasakan berhak menerima.

Bagaimanapun, trend orang ramai yang lebih cenderung menyalurkan zakat secara langsung boleh membuatkan tujuan zakat sebagai dana penyambungan ekonomi tidak tercapai.

Meskipun ia tidak dapat dihalang, Mohamed Khaled berkata trend sebegini akan menjadikan zakat yang diberikan mereka tidak lebih sekadar dana sumbangan untuk penggunaan sementara.

“Kerana itu kita mesti memastikan impak dan kesan pemberian serta penerimaan zakat itu dilestarikan.

“Biar kesannya boleh membantu menyelesaikan masalah kemiskinan dan keperluan ummah. Selain itu boleh membangunkan ekonomi dan mewujudkan pertumbuhan negeri,” kata beliau.

Justeru itu, Khaled berkata agensi pungutan zakat mesti mempunyai sasaran dan sama-sama mendidik masyarakat untuk tampil dan membayar zakat, memberi infak dan hibah.

Beliau berkata seharusnya perlu ada strategi pengagihan yang mampu menterjemahkan manfaat sebenar zakat dan hibah kepada masyarakat.

“Pengagihan yang boleh menggalakkan pertumbuhan industri kecil-mikro umpamanya.

“Ikhtiar inovatif sebeginilah yang akan mewujudkan ruang berdikari, mengurangkan kadar pengangguran dan akhirnya mampu merapatkan kesenjangan sosioekonomi,” kata beliau.

Dalam majlis yang sama, Mohamed Khaled turut menyampaikan sumbangan RM291,000 kepada balu anggota pasukan polis dan tentera serta seramai 1,081 orang dari seluruh Johor yang ditimpa musibah kelainan upaya ataupun cedera.