MDKT Atasi Kebimbangan Peniaga

KOTA TINGGI  – Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) akan sedaya upaya membantu peniaga Bazar Ramadan Kota Tinggi, bagi melariskan jualan mereka berikutan kebimbangan yang disuarakan peniaga ekoran perpindahan lokasi ke tempat baharu, tahun ini.
image-2Yang Dipertua MDKT, Fizwan Rashidi berkata, pihaknya maklum tentang keresahan sesetengah peniaga yang bimbang hasil jualan mereka di tempat baharu itu.
Namun katanya, MDKT juga terikat dengan peraturan dan undang-undang yang telah digariskan pihak kerajaan negeri.
“Kami akan bantu peniaga di sini sehabis baik untuk melariskan jualan mereka. Pada tahun ini, kami tampilkan beberapa kelainan jika hendak dibandingkan dengan tahun lalu.
“Jualannya masih sama, cuma kami tingkatkan dari segi promosi di tempat baharu ini. Ia termasuk aspek pencahayaan, bunyi-bunyian, dan ada letak belon serta pelbagai inisiatif lain sebagai cara untuk menarik kehadiran orang ramai bagi membantu peniaga di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan di bazar tersebut bersama Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Halimah Mohamed Sadique dan ahli majlis.
Fizwan berkata, bazar berkenaan mempunyai sebanyak 139 khemah gerai menjual pelbagai barangan persiapan untuk menyambut Aidilfitri.
Jelasnya, lawatan bersama timbalan menteri itu bertujuan membawa beliau melawat bazar berkenaan agar  turut sama merasai kemeriahan suasana di situ.
Selain itu, ada pandangan dan cadangan daripada timbalan menteri untuk pihaknya tambah baik bazar pada tahun ini dan mereka juga mahu ambil kesempatan untuk menggalakkan semua warga Kota Tinggi dan Johor agar sama-sama datang memeriahkan bazar ini.
“Meskipun lokasinya berbeza, namun dengan adanya sambutan serta sokongan dari warga daerah ini khasnya dan Johor secara tidak langsung dapat membantu peniaga.
“Sekali gus dapat memaksimumkan kemeriahan dalam kita hendak menyambut Aidilfitri bersama  masyarakat majmuk di negara ini,” katanya. – Sinar Harian