Kes Denggi Meningkat: Situasi Di Johor Terkawal

JOHOR BAHRU 1 Julai – Penularan demam denggi di negeri ini masih terkawal walaupun terdapat peningkatan jumlah kes sebanyak 79 peratus bagi 25 minggu pertama tahun ini.

imagePengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, sejak awal tahun ini sebanyak 4,272 kes denggi dicatatkan di negeri ini berbanding 2,391 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, sungguhpun berlaku peningkatan melibatkan kes denggi, tetapi jumlah kematian dalam tempoh sama berkurangan, iaitu hanya 10 kematian berbanding 14 pada tahun lalu.

“Situasi denggi di negeri ini masih dalam keadaan terkawal, peningkatan kes denggi berlaku disebabkan banyak faktor, antaranya keadaan cuaca dan pembangunan.

“Namun, faktor utama adalah sikap masyarakat sendiri kerana kebanyakan kes denggi yang dilaporkan berlaku di kawasan perumahan mereka,” katanya ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama media, di sini semalam.

Menurutnya, Johor Bahru merupakan daerah yang mencatatkan kes denggi tertinggi dengan 70 peratus, diikuti Kulaijaya dan Batu Pahat.

Ayub berharap masyarakat lebih peka dan menjaga kebersihan persekitaran mereka, khususnya tempat-tempat yang berkemungkinan menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.