Tuisyen HELP Bertujuan Bantu Calon SPM Dari Keluarga Kurang Berkemampuan – Syaiful

JOHOR BAHRU, 28 Jun – Menyedari kepentingan pendidikan dapat membantu mengubah nasib seseorang ke tahap lebih baik, Program HELP Tuisyen diteruskan tahun ini dan ia merupakan tahun kedua penganjurannya di Johor Bahru, ujar Pengerusi SRCC Johor Bahru, Syaiful Rizal Abd Ghani.

Ujarnya, Program TuisyenHelp ini merupakan anjuran Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Biro HELP), adalah satu inisiatif parti menaik taraf hidup masyarakat, terutamanya dalam pendidikan, untuk membantu anak-anak muda dari keluarga yang kurang berkemampuan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

UMNOJOHOR-48-s“Program ini bertemakan ‘Ringan Beban, Bina Masa Depan’. Kami berharap HELP Tuisyen ini dapat memberi sumbangan terbaik untuk membangunkan anak bangsa melalui bidang pendidikan

Ianya merupakan program tuisyen percuma bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah.

Para pelajar akan dibantu guru-guru terbaik, cemerlang bagi menghasilkan pelajar-pelajar berkeyakinan tinggi, berpotensi serta bermotivasi tinggi seterusnya mendetikkan transformasi dalam diri pelajar bagi mencapai kejayaan dan impian,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru.

Tambahnya, penggunaan guru-guru pakar dan cemerlang ini diharapkan dapat memberi nilai tambah kepada pembelajaran pelajar sekaligus melengkapkan mereka dalam menghadapi situasi peperiksaan yang sebenar.

Para pelajar HELP tuisyen yang berjaya dapat keputusan cemerlang akan dibantu untuk melanjutkan pengajian di IPTA dan pusat-pusat pengajian di bawah MARA manakala pelajar yang dapat keputusan kurang memuaskan akan dibantu untuk menceburi bidang kemahiran di institut-institut kemahiran yang disediakan di bawah MARA.